Kempen Keselamatan Jalan Raya Tatau Perkukuh Kesedaran Aidilfitri
TATAU: Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Aidilfitri 2026 di KM1 Jalan Tatau–Sibu pada Khamis memperkukuh kesedaran pengguna jalan raya menjelang peningkatan aliran trafik musim perayaan.
Program anjuran Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Bahagian Bintulu dengan kerjasama OSC MIDS Daerah Tatau serta PEMADAM Daerah Tatau itu bertujuan mengurangkan risiko kemalangan dan memupuk budaya pemanduan selamat.
Majlis telah disempurnakan oleh Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Pandang Semat.
Turut hadir Ketua Polis Daerah Tatau DSP Jame Reis, wakil Pejabat Daerah Tatau Raden Azamry Raden Perhan, wakil Pejabat Residen Bahagian Bintulu Norina Empina, Pemanca Gerosen Jubin serta Ketua Cawangan JPJ Bintulu Fredrick Kedo.
Dalam taklimat keselamatan, DSP Jame Reis menekankan pematuhan undang-undang jalan raya termasuk had kelajuan, larangan menggunakan telefon bimbit ketika memandu serta kepentingan tidak melawan arus atau meletak kenderaan di bahu jalan.
Beliau turut mengingatkan pemakaian topi keledar dan tali pinggang keselamatan sebagai langkah asas bagi mengurangkan risiko kecederaan.
Sementara itu, OSC MIDS dan PEMADAM terus mempergiat advokasi keselamatan khususnya di kawasan luar bandar, manakala MKJR Bahagian Bintulu komited memperkukuh kolaborasi strategik dalam pelaksanaan inisiatif keselamatan jalan raya.
Kempen ini diharap dapat meningkatkan kesedaran awam serta memastikan perjalanan Aidilfitri lebih selamat dan lancar.-EDISI UKAS