Sarawak Kini Pada Fasa Penting Realisasikan Visi 2030
KUCHING: Sarawak sedang berada pada satu fasa penting dalam perjalanan pembangunannya untuk mencapai matlamat visi 2030 seperti yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, sebagai sebuah wilayah yang besar, Sarawak kini berada pada fasa penting untuk menaik taraf sistem infrastruktur jalan raya dan kemudahan asas, khususnya bekalan air dan letrik, dan capaian Internet.
Menurutnya, usaha ini diselarikan dengan pelbagai inisiatif strategik untuk mentransformasikan ekonomi Sarawak kepada ekonomi berpendapatan tinggi, dengan pemerkasaan bidang teknologi tinggi, inovasi, nilai tambah dan kelestarian alam sekitar.
"Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) memberi penekanan besar terhadap penerokaan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM). Kita mahu generasi muda Sarawak bukan sahaja menjadi pengguna teknologi, tetapi pencipta dan peneraju teknologi.
"Dalam bidang semikonduktor, kita telah mengambil langkah-langkah proaktif untuk membina kepakaran tempatan di mana tiga orang pelajar cemerlang Sarawak akan dihantar untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang semikonduktor di Universiti Bristol, United Kingdom.
"Inisiatif ini bukan sekadar simbolik, tetapi merupakan pelaburan jangka panjang bagi melahirkan pakar tempatan yang mampu menyokong pembangunan industri semikonduktor di Sarawak,” ujar beliau dalam Perutusan Khas sempena Hari Raya Aidilfitri 2026.
Premier Sarawak menambah, kerajan negeri juga mahu membina ekosistem industri berteknologi tinggi yang kukuh daripada penyelidikan dan pembangunan (R&D), reka bentuk cip, sehingga ke pembuatan dan aplikasi industri.
Jelas beliau, dengan membina kepakaran sendiri, beliau yakin Sarawak mampu berdiri kukuh sebagai pemain yang diyakini dalam rantaian bekalan cip global yang semakin meningkat dalam era kecerdasan buatan (AI) pada masa ini.
"Dalam bidang aeroangkasa pula, Sarawak turut meneroka pembangunan teknologi satelit kecil seperti CubeSat.
"Usaha ini membuka ruang kepada anak-anak muda kita untuk terlibat dalam bidang kejuruteraan angkasa, analisis data satelit dan aplikasi teknologi angkasa untuk kegunaan pertanian, pemantauan alam sekitar, pengurusan bencana dan perancangan bandar.
"Kita mahu anak Sarawak berani bermimpi besar bukan sahaja melihat bintang di langit, tetapi mampu meneroka dan memanfaatkannya untuk kesejahteraan rakyat," jelasnya lagi. -EDISI UKAS