Aidilfitri Wadah Kukuh Perpaduan Masyarakat Majmuk Sarawak
KUCHING: Kemeriahan sambutan Hari Raya Aidilfitri wajar dimanfaatkan sebagai ruang mempereratkan hubungan sesama insan, menyemai nilai kasih sayang serta memperkukuh keharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negeri ini.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, Aidilfitri bukan sekadar perayaan untuk bergembira, malah menjadi detik bermakna untuk mensyukuri nikmat serta saling bermaaf-maafan antara satu sama lain.
Menurutnya, dalam suasana penuh kegembiraan itu, masyarakat turut diingatkan tentang kepentingan nilai toleransi, saling menghormati dan semangat kebersamaan dalam kehidupan bermasyarakat.
“Di Sarawak, kita hidup dalam masyarakat majmuk yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan budaya. Keunikan ini merupakan kekuatan yang perlu kita pelihara bersama,” katanya dalam Perutusan Hari Raya Aidilfitri 2026.
Dalam pada itu, beliau menambah, semangat perpaduan, keharmonian dan saling memahami antara masyarakat menjadi asas penting dalam memastikan pembangunan Sarawak terus maju dan makmur.
Sehubungan itu, beliau mengajak semua pihak menjadikan sambutan Hari Raya sebagai peluang untuk mengukuhkan lagi hubungan persaudaraan bukan sahaja dalam kalangan umat Islam, malah merangkumi seluruh masyarakat tanpa mengira latar belakang.
"Dengan semangat perpaduan dan kebersamaan, rakyat mampu bersama-sama menyumbang kepada kemajuan serta kesejahteraan Sarawak,” katanya.-EDISI UKAS