Perpaduan Teras Kekuatan Sarawak, Hak Negeri Perlu Dipertahan
KUCHING: Sambutan Hari Raya Aidilfitri bukan sekadar perayaan keagamaan, sebaliknya menjadi wadah penting untuk rakyat Sarawak menginsafi kedudukan serta mempertahankan hak negeri ini sebagai rakan pengasas dalam Persekutuan Malaysia.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, Aidilfitri yang menandakan permulaan Syawal turut membawa mesej perpaduan, kemaafan dan kebersamaan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum serta agama di negeri ini.
Menurut beliau, perpaduan dan kepelbagaian yang wujud menjadi asas kukuh kepada keharmonian negeri, selari dengan semangat segulai sejalai yang menekankan kebersamaan dalam membina masa depan.
“Di Sarawak, semangat kebersamaan ini mencerminkan kekuatan unik masyarakat kita, di mana rakyat daripada pelbagai kaum dan agama saling mengunjungi, berkongsi juadah dan meraikan perayaan sebagai satu keluarga besar.
“Perayaan ini bukan sahaja waktu untuk kita bergembira dan bermaaf-maafan, tetapi juga ruang untuk kita bermuhasabah tentang siapa kita, dari mana kita datang dan apa yang perlu kita pertahankan,”katanya dalam Perutusan sempena Hari Raya Aidilfitri 2026.
Datuk Amar Douglas turut menegaskan bahawa Sarawak merupakan antara rakan pengasas Malaysia, justeru hak autonomi dan maruah negeri ini telah termaktub dengan jelas dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh rakyat Sarawak agar terus bersatu dalam menyokong usaha tersebut, kerana kekuatan negeri bergantung kepada kesepaduan rakyatnya.
“Ini bukan hak yang diberikan oleh sesiapa, tetapi adalah sebahagian daripada asas pembentukan Malaysia itu sendiri.
“Langkah yang diambil bukan sekadar soal pentadbiran, tetapi demi keadilan dan memastikan apa yang sepatutnya menjadi milik Sarawak dikembalikan, sekali gus menjamin masa depan generasi akan datang.
“Apabila kita bersatu, suara kita menjadi lebih kuat dan jelas. Oleh itu, dalam musim perayaan yang mulia ini, marilah kita memperkukuh perpaduan dan berdiri teguh bersama kepimpinan negeri,” ujarnya lagi.-EDISI UKAS