SCS Terjemah Dasar Kerajaan Kepada Hasil Nyata Demi Kesejahteraan Rakyat
KUCHING: Perkhidmatan Awam Sarawak (SCS) terus memberi komitmen penuh untuk memastikan setiap dasar, perancangan dan inisiatif kerajaan negeri diterjemahkan kepada hasil nyata yang dapat dirasai rakyat.
Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, kejayaan SCS bergantung kepada kekuatan kerjasama berpasukan serta semangat kebersamaan dalam kalangan penjawat awam bagi memastikan penyampaian perkhidmatan yang berkesan dan berimpak tinggi.
Menurut beliau, seluruh anggota perkhidmatan awam perlu bergerak sebagai satu pasukan yang padu demi memastikan kepentingan Sarawak terus terpelihara dan diperkasakan.
“Semangat Aidilfitri yang bakal diraikan harus dijadikan pemangkin untuk Perkhidmatan Awam Sarawak bergerak dengan lebih fokus dan berkesan dalam melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Perutusan Khas sempena Hari Raya Aidilfitri 2026.
Beliau turut mengingatkan bahawa dalam dunia yang sentiasa berubah, penjawat awam tidak boleh cepat berpuas hati dengan pencapaian sedia ada, sebaliknya perlu terus meningkatkan keupayaan, menambah baik kaedah kerja serta berani melakukan perubahan.
Jelasnya, ini merupakan masa yang tepat untuk seluruh jentera perkhidmatan awam melangkah ke hadapan dengan semangat yang lebih tinggi, lebih tangkas serta berorientasikan hasil.
“Marilah kita menjadikan Syawal ini sebagai ruang untuk bermuhasabah, memperbaharui tekad, serta melangkah ke hadapan dengan semangat ‘revisit, rethink dan recharge’,” ujarnya lagi.
Dalam kesempatan itu, beliau turut menggalakkan SCS mengambil peluang cuti perayaan untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan serta silaturahim dengan menziarahi sanak saudara dan sahabat handai.
Beliau juga menasihatkan orang ramai yang pulang ke kampung halaman agar sentiasa berhati-hati di jalan raya dan memandu dengan cermat demi keselamatan bersama. -EDISI UKAS