Aidilfitri Perkukuh Perpaduan, Semarakkan Semangat Kebersamaan Rakyat
KUCHING: Sambutan Hari Raya Aidilfitri bukan sekadar perayaan keagamaan atau pertemuan keluarga, sebaliknya menjadi platform penting dalam memperkukuh perpaduan serta semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negeri ini.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian menegaskan bahawa tradisi rumah terbuka yang menjadi amalan ketika Aidilfitri mencerminkan nilai harmoni apabila rakyat tanpa mengira latar belakang berkumpul, berinteraksi dan berkongsi rezeki bersama.
Menurut beliau, perayaan ini turut memperlihatkan keunikan masyarakat yang hidup dalam suasana aman, saling menghormati serta menghargai kepelbagaian budaya, sekali gus menjadi asas penting dalam pembinaan negeri yang kukuh dan stabil.
“Hari Raya adalah masa terbaik untuk kita kembali makan bersama, meluangkan masa bersama keluarga serta mengeratkan hubungan sesama masyarakat yang mungkin terpisah akibat kesibukan harian,” katanya dalam Perutusan Hari Raya Aidilfitri 2026.
Beliau menambah, semangat prihatin dan saling membantu yang dizahirkan sepanjang musim perayaan melambangkan keperibadian masyarakat yang sentiasa mengambil berat antara satu sama lain.
“Bukan hanya melalui sumbangan kewangan, tetapi sikap mengambil peduli dan saling menghormati menjadikan negeri ini terus dihormati serta dihargai,” jelasnya.-EDISI UKAS