Isu Bekalan Air Diperjelas Secara Terus, Pemimpin Komuniti Lingga Hargai Sesi Libat Urus JBALB
LINGGA: Kebimbangan penduduk mengenai gangguan bekalan air di kawasan Stumbin dan Tanjung Bijat akhirnya mendapat penjelasan secara terus apabila Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak turun padang mengadakan sesi libat urus bersama pemimpin masyarakat di Pejabat Daerah Lingga, Bahagian Sri Aman.
Sesi yang menghimpunkan Ketua Kaum dan Ketua Masyarakat itu bukan sekadar taklimat teknikal, malah menjadi ruang dua hala untuk komuniti mendapatkan penjelasan tepat serta berkongsi sendiri cabaran yang dihadapi dalam kehidupan seharian akibat gangguan bekalan air.
Taklimat telah disampaikan oleh Timbalan Pengarah (Operasi) JBALB Sarawak, Ts. Aaron Gorino bersama Jurutera Air JBALB Bahagian Sri Aman, Amirul Abidurrahman Jauzi Suhaili, manakala sesi dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Lingga, Frank Lani.
Melalui sesi tersebut, JBALB menjelaskan bahawa punca utama gangguan bekalan air di kawasan terlibat adalah disebabkan kapasiti Loji Rawatan Air Stumbin yang telah mencapai tahap maksimum pengeluaran iaitu 0.65 juta liter sehari, sekali gus tidak lagi mampu menampung permintaan, khususnya di kawasan hujung jajaran paip seperti Tanjung Bijat.
Keadaan ini turut diburukkan dengan kekangan sumber air mentah yang mengehadkan usaha pembesaran loji sedia ada.
Sehubungan itu, JBALB memaklumkan bahawa bekalan air tambahan daripada Loji Rawatan Air Bayai telah dikenal pasti sebagai penyelesaian utama, dengan kapasiti loji tersebut mencukupi untuk menampung keperluan semasa.
Bekalan tersebut disalurkan melalui jaringan paip sepanjang kira-kira 35 kilometer bermula dari Tangki Takungan Bayai berkapasiti 10 juta liter, melibatkan dua jajaran utama ke kawasan Stumbin.
Dalam masa sama, JBALB turut menjelaskan bahawa gangguan bekalan air yang semakin ketara sejak Oktober 2025 bukan berpunca daripada paras tangki takungan, sebaliknya disebabkan kebocoran paip serta penutupan bekalan bagi tujuan kerja penyelenggaraan.
Bagi menangani isu ini, pelbagai langkah segera telah dilaksanakan termasuk pembaikan paip bocor, penukaran injap uzur, pemasangan Double Air Valve di kawasan tinggi serta kerja pemantauan dan flushing secara berterusan.
Selain itu, pemasangan paip pesongan alternatif di kawasan pembinaan, penyediaan tangki berpusat serta penghantaran air menggunakan lori tangki turut dilaksanakan bagi memastikan bekalan air terus sampai kepada penduduk terjejas.
Sesi tersebut turut menyaksikan pembentangan laporan pemantauan oleh Pejabat Daerah Lingga, di samping membuka ruang kepada komuniti untuk menyuarakan pandangan, cadangan serta maklum balas secara langsung kepada pihak JBALB.
Pendekatan libat urus ini dilihat memberi kelegaan kepada pemimpin masyarakat apabila isu yang selama ini menjadi persoalan dapat diperjelaskan secara telus, sekali gus memperkukuh keyakinan terhadap usaha penyelesaian yang sedang dilaksanakan.
JBALB Sarawak dalam kenyataannya menzahirkan penghargaan atas kerjasama semua Ketua Kaum dan Ketua Masyarakat dalam membantu menyalurkan maklumat tepat kepada penduduk, serta menegaskan komitmen berterusan jabatan dalam memastikan penyampaian perkhidmatan bekalan air yang lebih baik demi kesejahteraan rakyat.
Turut hadir wakil daripada Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sri Aman dan Pusat Khidmat Rakyat DUN Lingga.-EDISI UKAS