Lemang Pak Jamal Jadi Pilihan Setiap Perayaan Di Simanggang
SIMANGGANG: Menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri, aroma lemang yang dibakar perlahan-lahan mula memenuhi ruang di Kampung Hulu, Simanggang, sekali gus menjadi tanda tradisi yang terus hidup dalam kalangan masyarakat setempat.
Bagi pengusaha lemang dikenali sebagai Lemang Pak Jamal, penyediaan juadah warisan itu bukan sekadar perniagaan bermusim, malah menjadi rutin tahunan yang mengeratkan hubungan komuniti.
Menurut beliau, bagi menghasilkan kira-kira 300 batang lemang, sebanyak 60 kilogram santan diperlukan, manakala proses memasak mengambil masa sekitar dua jam setengah.
“Biasanya lima hingga enam orang akan terlibat dalam proses ini, dan tenaga kerja juga berubah setiap tahun bergantung kepada keadaan,” katanya ketika ditemui UKAS pada Khamis.
Beliau berkata, permintaan terhadap lemang meningkat menjelang Aidilfitri, dengan sebahagian pelanggan memilih untuk mengambil sendiri tempahan, manakala ada juga yang memerlukan perkhidmatan penghantaran ke rumah.
Tambahnya, lemang yang dihasilkan mampu bertahan sehingga lima hari sekiranya disimpan dengan cara yang betul.
Lebih menarik, Lemang Pak Jamal bukan sahaja menjadi pilihan ketika Aidilfitri, malah turut mendapat sambutan pada musim perayaan lain seperti Hari Gawai, Tahun Baharu Cina dan Krismas.
Dengan pengalaman berniaga lebih sedekad, beliau terus komited mengekalkan kualiti dan rasa tradisional lemang yang dihasilkan, sekali gus memastikan warisan makanan itu terus dinikmati merentasi generasi dan budaya.-EDISI UKAS