Yang di-Pertua Negeri Sarawak & Premier Sarawak Imarahkan Solat Aidilfitri
KUCHING: Pagi 1 Syawal di Masjid Jamek Negeri Sarawak diselubungi suasana penuh kesyukuran dan kebersamaan apabila Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg hadir menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama ribuan umat Islam, pada Sabtu.
Kehadiran kedua-dua pemimpin tertinggi negeri ini bukan sahaja menyemarakkan sambutan Aidilfitri, malah mencerminkan semangat kebersamaan dan perpaduan yang terus menjadi teras keharmonian Sarawak.
Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi tiba pada jam 7.55 pagi, manakala Premier Sarawak tiba lebih awal sekitar jam 7.45 pagi.
Solat sunat Aidilfitri itu dipimpin Imam Besar Sarawak, Sahibul Fadhilah Dato Mustapha Kamal Ahmad Fauzi bersama lebih 5,000 umat Islam yang hadir mengimarahkan sambutan 1 Syawal.
Selesai solat, program diteruskan dengan khutbah Aidilfitri bertajuk ‘Syawal: Bangkit Dari Ujian, Bersatu Dalam Keimanan’ yang menekankan nilai kesyukuran, perpaduan serta kekuatan ummah dalam mendepani cabaran.
Usai menunaikan solat, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi dijadual mengadakan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Astana Negeri Sarawak bermula jam 10 pagi hingga 4 petang.
Turut hadir menunaikan solat sunat Aidilfitri
ialah Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datuk Misnu Taha serta tetamu kenamaan lain.-EDISI UKAS