1,300 Jemaah Meriahkan Solat Aidilfitri Di Masjid Darul Aman Sebangan
SEBUYAU: Suasana penuh kesyukuran dan kegembiraan menyelubungi Masjid Darul Aman Sebangan apabila kira-kira 1,300 orang jemaah hadir menunaikan solat sunat Aidilfitri, pada Sabtu.
Solat sunat Aidilfitri itu turut disertai Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau, Dato Sri Julaihi Narawi.
Ketibaan beliau pada jam 7.30 pagi disambut mesra oleh jemaah yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk pemimpin setempat dan penduduk sekitar.
Khutbah Aidilfitri telah disampaikan oleh Ustaz Hamid Hoodi yang menekankan nilai kesyukuran, perpaduan serta keinsafan dalam kehidupan bermasyarakat.
Sejurus selesai solat, Dato Sri Julaihi meluangkan masa beramah mesra bersama jemaah serta menyampaikan ucapan ringkas yang menekankan kepentingan mengekalkan keharmonian, saling hormat-menghormati dan semangat kebersamaan.
Beliau turut mengajak masyarakat untuk terus memperkukuh silaturahim serta bersama-sama memainkan peranan dalam memajukan kawasan Sebuyau agar terus maju dan sejahtera.
Majlis diakhiri dengan sesi bersalaman serta jamuan ringan yang menambahkan kemeriahan sambutan Aidilfitri.
Turut hadir, Pegawai Daerah Sebuyau, Ayuradiman Bujang serta Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Masjid Darul Aman Sebangan, Yaman Madian.-EDISI UKAS