![]() |
AJAX Error Sorry, failed to load required information. Please contact your system administrator. |
|
| Close | ||
Kesedaran Vandalism di Sarawak.
Kemudahan Awam Milik Kita, Tanggungjawab Bersama
Pernah tak kita duduk di bangku taman yang cantik minggu lepas, tapi minggu ini dah penuh contengan nama dan simbol pelik? Atau tandas awam yang baru dibaiki tiba-tiba rosak sebab perbuatan tidak bertanggungjawab? Di perhentian bas Pan Borneo Highway yang cantik tetapi dicemari dengan sampah sarap kerana tong sampah dah hilang entah kemana? Itulah realiti vandalism, perlakuannya senyap, tapi kesannya besar pada masyarakat kita di Sarawak.
Sarawak terkenal dengan masyarakatnya yang harmoni, kaya budaya dan penuh nilai hormat. Namun, isu vandalism tetap wujud, sama ada di taman rekreasi, sekolah, perhentian bas atau kemudahan awam lain. Kemudahan ini bukan sekadar hiasan semata-mata tetapi ia dibina menggunakan duit rakyat untuk manfaat semua rakyat tak kira di bandar atau kampung. Bila rosak akibat vandalism, bukan sahaja imej tempat terjejas, malah kos pembaikan meningkat dan orang ramai yang menjadi mangsa. Sebab itu, kesedaran tentang menjaga kemudahan awam perlu dipupuk dari rumah dan sekolah.
Vandalism bukan sekadar menconteng dinding. Ia termasuk merosakkan harta awam, mematahkan bangku, memecahkan lampu jalan, merosakkan tandas awam atau mencuri peralatan. Ada yang melakukannya sekadar suka-suka, mahu nampak dan merasa hebat di depan rakan, atau kerana kurang kesedaran tentang akibat perbuatan tersebut seolah-olah menganggap ia tidak memberi kesan pada pengguna lain.
Namun begitu hendaklah kita sesari bahawa kesan vandalism sangat besar. Pertama, ia menjejaskan keselamatan masyarakat. Lampu jalan yang rosak misalnya boleh mengundang bahaya pada waktu malam. Kedua, ia membebankan kewangan kerajaan tempatan yang terpaksa membaiki kerosakan berulang kali. Ketiga, ia mencemarkan imej bandar dan kampung kita, terutama kepada pelancong yang datang melihat keindahan Sarawak.
Jadi, bagaimana cara mengatasi vandalism? Pertama, pendidikan awal sangat penting. Murid perlu diajar bahawa kemudahan awam adalah milik bersama, bukan milik individu. Kedua, kempen kesedaran melalui sekolah, komuniti dan media sosial boleh membuka mata masyarakat. Poster kreatif, video pendek atau projek komuniti mampu memberi kesan mendalam.
Ketiga, pengawasan dan penguatkuasaan perlu seimbang dengan pendidikan. Kamera keselamatan, rondaan komuniti dan tindakan tegas terhadap pelaku boleh menjadi penghalang kepada perbuatan tidak bertanggungjawab. Namun, hukuman sahaja tidak mencukupi jika kesedaran tidak dibina.
Peranan guru dan ibu bapa amat besar dalam mendidik anak-anak murid. Guru boleh memasukkan nilai tanggungjawab dalam aktiviti sekolah seperti gotong-royong, projek keceriaan kelas dan program menjaga harta benda sekolah. Ibu bapa pula boleh memberi contoh dengan tidak merosakkan kemudahan awam dan menegur anak-anak jika terlihat perbuatan tersebut.
Selain itu, pendekatan kreatif juga boleh digunakan. Contohnya, pertandingan mural berlesen di sekolah atau kawasan tertentu boleh menyalurkan minat seni kepada belia dan remaja secara positif. Apabila mereka diberi ruang untuk berkarya dengan cara yang betul, mereka lebih menghargai hasil seni dan kurang cenderung merosakkan harta awam.
Penting juga untuk membina rasa memiliki dalam diri murid sekolah. Bila mereka merasakan sekolah dan komuniti adalah rumah kedua mereka, maka akan timbul rasa kepunyaan dan mereka akan lebih menjaga kebersihan dan kemudahan yang ada. Aktiviti seperti menjadi duta kebersihan atau penjaga sudut keceriaan boleh memupuk rasa tanggungjawab sejak kecil.
Akhirnya, isu vandalism bukan sekadar tentang dinding yang diconteng atau bangku yang patah. Ia tentang sikap dan nilai dalam diri kita. Sarawak indah bukan hanya kerana alamnya, tetapi kerana masyarakatnya yang saling menghormati. Kalau kita mahu anak-anak membesar dalam persekitaran yang bersih dan selamat, perubahan mesti bermula dari diri sendiri. Jaga kemudahan awam seperti kita menjaga rumah sendiri kerana sebenarnya, seluruh komuniti inilah rumah kita bersama.