Gema Takbir Aidilfitri Himpunkan Komuniti Kampung Tambirat Lot
ASAJAYA: Suasana pagi 1 Syawal di Kampung Tambirat Lot diselubungi rasa syukur dan keinsafan apabila ratusan penduduk setempat hadir menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Darul Rahmah, di sini pada Sabtu.
Seawal jam 7.15 pagi, pekarangan masjid mula dipenuhi jemaah daripada pelbagai lapisan usia yang hadir bersama keluarga masing-masing bagi menunaikan ibadah tersebut.
Laungan takbir yang bergema dalam suasana pagi yang tenang menambahkan lagi penghayatan jemaah dalam mengagungkan kebesaran Allah SWT selepas sebulan menjalani ibadah Ramadan.
Masjid Darul Rahmah terus menjadi tumpuan utama penduduk setempat, bukan sahaja kerana kemudahan ruang solat yang selesa, malah kawasan parkir yang luas memudahkan kehadiran jemaah.
Tinjauan mendapati ruang solat dipenuhi jemaah yang tersusun rapi mengikut saf, manakala suasana dalam masjid kekal harmoni dengan para jemaah bersama-sama melafazkan takbir dengan penuh tertib.
Solat sunat Aidilfitri dimulakan pada jam 8.15 pagi dan diimamkan oleh Imam 1 Masjid Darul Rahmah. Usai solat, jemaah mendengar khutbah raya yang menekankan erti kemenangan selepas Ramadan serta kepentingan memelihara ukhuwah sesama Muslim.
Selesai majlis, jemaah saling bersalaman dan bermaafan, sekali gus mencerminkan semangat perpaduan yang terus utuh dalam kalangan komuniti Kampung Tambirat Lot.-EDISI UKAS