Naik Taraf Jalan Krokop 3 Perkukuh Infrastruktur Komuniti Setempat
MIRI: Projek naik taraf jalan di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) di Krokop 3 kini hampir siap sepenuhnya dengan penekanan terhadap aspek kualiti dan kebersihan sebelum penyerahan rasmi.
Datuk Bandar Miri merangkap ADUN Pujut, Adam Yii Siew Sang berkata, pemeriksaan akhir perlu dilakukan bagi memastikan projek memenuhi piawaian serta memberi manfaat optimum kepada penduduk.
Beliau berkata demikian semasa lawatan tapak di Jalan Alpinia, Krokop 3 baru-baru ini.
Projek tersebut melibatkan naik taraf jalan sepanjang 225 meter, merangkumi penurapan semula Jalan Alpinia (115 meter) dan Jalan Pavetta 3 (110 meter) yang memberi manfaat kepada 17 buah rumah.
Menurut beliau, kontraktor menunjukkan komitmen dan profesionalisme baik sepanjang pelaksanaan projek, termasuk penambahbaikan seperti pembinaan semula penutup saliran bawah tanah, pembersihan longkang serta penambahan dua saluran air baharu bagi melancarkan sistem perparitan.
Bagaimanapun, masih terdapat sisa kerja dan kekotoran yang perlu diselesaikan sebelum penyerahan rasmi.
Sehubungan itu, beliau mengarahkan kerja pembersihan dilaksanakan secara menyeluruh bagi memastikan projek siap dalam keadaan kemas dan berkualiti.
Dalam pada itu, beliau turut mendengar maklum balas penduduk setempat, dengan kontraktor memberi jaminan akan menambah baik sebarang kekurangan yang dikenal pasti.
Beliau turut merakamkan penghargaan terhadap komitmen kontraktor dalam memastikan projek dilaksanakan dengan baik demi kesejahteraan penduduk setempat. -EDISI UKAS