![]() |
AJAX Error Sorry, failed to load required information. Please contact your system administrator. |
|
| Close | ||
Anak Sarawak Membina Masa Depan Tanpa Melupakan Asal Usul
Bayangkan satu hari nanti, anak-anak kita berdiri megah sebagai jurutera, doktor, usahawan digital, bahkan pemimpin negara. Mereka bercakap tentang teknologi, kecerdasan buatan dan ekonomi global. Tetapi apabila ditanya, “Kamu asal dari mana?” mereka tersenyum dan bangga menjawab, “Saya anak Sarawak.”
Itulah kekuatan sebenar. Membina masa depan tanpa meninggalkan asal usul.
Di bumi kenyalang ini, kita tidak dibesarkan dengan satu warna sahaja. Kita hidup bersama pelbagai kaum antaranya Iban, Melayu, Cina, Bidayuh, Melanau, Orang Ulu dan banyak lagi. Kita belajar bahawa perbezaan bukan untuk dipertikaikan, tetapi untuk diraikan. Itulah identiti yang membentuk Bangsa Sarawak.
Lihat sahaja masyarakat Iban. Mereka kaya dengan adat, pantang larang, dan semangat komuniti yang kuat. Rumah panjang bukan sekadar tempat tinggal, tetapi simbol kebersamaan. Dari situlah lahir nilai gotong-royong, saling menjaga antara satu sama lain dan menghormati orang-orang tua.
Masyarakat Melayu Sarawak pula terkenal dengan adab dan kesantunan. Budaya berpantun, sopan dalam tutur kata, dan kuat pegangan agama menjadi asas pembentukan akhlak generasi muda pada masa yang sama mengutamakan pendidikan untuk anak-anak supaya dapat peluang belajar ke peringkat tinggi.
Selain itu, ramai juga profesional Melanau dalam bidang perundangan, pendidikan, perubatan dan sektor korporat. Mereka bukan sahaja berjaya dalam kerjaya, tetapi masih mengekalkan adat seperti Kaul dan budaya bermukun sebagai identiti.
Ramai anak Orang Ulu hari ini berjaya sebagai pegawai kanan kerajaan, jurutera dalam industri minyak dan gas, pegawai tentera, pensyarah universiti dan usahawan. Mereka membawa bersama nilai disiplin, hormat orang tua dan semangat komuniti yang kuat.
Komuniti Cina Sarawak pula sinonim dengan semangat keusahawanan, disiplin dan kerja keras. Dari kedai kecil di pekan hinggalah syarikat besar, nilai usaha tanpa mengenal penat itu diwariskan turun-temurun.
Semua ini bukan sekadar cerita tentang keunikan dan kemegahan bangsa tetapi ia adalah akar. Masalahnya hari ini, kita terlalu cepat mahu menjadi moden sehingga kadang-kadang lupa siapa diri kita. Kita bangga bercakap tentang luar negara, tetapi malu menyebut asal kampung sendiri. Kita tahu trend global, tetapi tidak kenal sejarah keluarga sendiri. Hakikatnya, masa depan yang kukuh mesti dibina di atas asas yang kukuh.
Teknologi boleh berubah setiap tahun. Ekonomi boleh naik turun. Tetapi nilai seperti hormat, kerja keras, setia kawan, dan semangat komuniti itu semua datang daripada asal usul kita. Tanpa nilai itu, kejayaan hanya kosong.
Sebagai orang Sarawak, kita ada kelebihan besar. Kita membesar dalam suasana harmoni antara kaum. Kita biasa berkongsi juadah semasa Gawai, Aidilfitri, Tahun Baru Cina dan Krismas. Kita tidak kekok duduk semeja walaupun berbeza agama dan budaya. Itu aset sosial yang sangat mahal nilainya.
Membina masa depan bukan bermaksud meninggalkan tradisi. Kita boleh menjadi pakar IT yang fasih tentang kecerdasan buatan, tetapi masih tahu makna Ngajat dan Zapin. Kita boleh menjadi usahawan berjaya, tetapi masih ingat bahasa ibunda yang diajar nenek dulu.
Identiti bukan penghalang kemajuan. Ia kompas menuju pembinaan jati diri bangsa. Anak muda Sarawak tidak perlu memilih antara menjadi moden atau berakar budaya. Kita boleh jadi kedua-duanya. Dunia hari ini sebenarnya mencari keunikan. Orang yang tahu siapa dirinya lebih yakin melangkah jauh.
Akhirnya, masa depan bukan tentang setinggi mana kita terbang. Tetapi sejauh mana kita masih ingat tanah tempat kita berpijak. Kerana pohon yang tinggi, akarnya tetap di bumi. Dan kita sebagai anak Sarawak pasti boleh membina masa depan yang hebat, tanpa pernah malu dengan asal usul sendir