Rumah Terbuka TYT Sarawak Satukan Pengunjung Pelbagai Latar Belakang
KUCHING: Suasana meriah dan penuh warna-warni di Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri 2026 Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Astana Sarawak hari ini bukan sahaja dihiasi kehadiran kira-kira puluhan ribu pengunjung, malah diserikan dengan pelbagai kisah dan pengalaman bermakna daripada mereka yang hadir.
Bagi pengunjung dari Amerika Syarikat, Iain Goddard, keterujaannya jelas terpancar apabila berpeluang kembali menghadiri majlis tersebut selepas pengalaman positif tahun lalu.
“Kami pernah menghadiri Rumah Terbuka Hari Raya tahun lalu di Pusat Konvensyen Borneo Kuching dan tahun ini kami berusaha mencari majlis ini sekali lagi.
“Saya sangat gembira dapat hadir kerana suasananya begitu indah. Saya juga amat menikmati melihat pakaian tradisional yang cantik serta dekorasi yang menarik.
“Berdasarkan pengalaman sebelum ini, saya yakin makanan yang disediakan pasti sangat lazat.
“Selamat Hari Raya kepada semua yang menyambut perayaan ini,” katanya ketika ditemui UKAS semasa majlis rumah terbuka tersebut.
Sementara itu, pengunjung dari Perak, Raja Rafirah Begum Raja Muhamad menyifatkan sambutan Aidilfitri di Sarawak sebagai satu pengalaman yang menyentuh emosi dan penuh makna.
Menurutnya, beliau kini mengikuti suaminya yang berasal dari Sarawak untuk menyambut perayaan tersebut di negeri ini selepas kehilangan keluarga sebelah bapanya.
“Ini merupakan kali pertama saya menyambut dan menghadiri Rumah Terbuka Hari Raya di Sarawak dan saya sangat teruja dengan suasananya yang begitu meriah.
“Berbanding di Semenanjung, saya tidak lagi merasai suasana beraya seperti dahulu kerana keluarga sebelah bapa sudah tiada, namun di sini suasana kekeluargaan sangat terasa dengan kehadiran ahli keluarga yang ramai.
“Pengalaman ini sangat bermakna bagi saya. Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin kepada semua,” ujarnya.
Bagi pengunjung tempatan, Henry Chuo dari Kuching, kehadiran orang ramai walaupun dalam cuaca panas jelas mencerminkan semangat Aidilfitri yang masih utuh dalam kalangan masyarakat.
“Saya amat gembira dapat hadir menziarahi Yang di-Pertua Negeri Sarawak pada hari pertama sambutan Hari Raya Aidilfitri ini.
“Walaupun cuaca agak panas, namun kehadiran pengunjung yang ramai jelas menunjukkan semangat Aidilfitri yang masih kuat dan meriah.
“Saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua umat Islam, semoga terus menikmati kemeriahan ziarah-menziarahi dan mengeratkan silaturahim,” katanya.
Kehadiran pengunjung dari pelbagai latar belakang turut menyerlahkan daya tarikan Sarawak sebagai destinasi pelancongan berbudaya, di samping mencerminkan semangat perpaduan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum yang menjadi tunjang kekuatan negeri ini.-EDISI UKAS