![]() |
AJAX Error Sorry, failed to load required information. Please contact your system administrator. |
|
| Close | ||
Pertanian Modern di Sarawak Dalam Kalangan Generasi Muda
Menurut Banci Pertanian 2024, terdapat seramai 458,395 orang daripada pengusaha pertanian individu berusia 60 tahun ke atas di negara kita, dan 224,147 orang pula terdiri daripada mereka yang berusia antara 15 hingga 45 tahun.
Ini bermakna 22.2 peratus sahaja daripada kalangan generasi muda yang berkecimpung dalam sektor pertanian manakala golongan tua yang masih giat aktif masih ada dalam lingkungan 45.4 peratus.
Ini jelas menunjukkan struktur demografi pengusaha pertanian sudah menua dan menuntut 'peremajaan'.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof pernah menegaskan bahawa jika tidak ditangani cabaran sebegini, maka akan muncullah kegetiran masalah keterjaminan makanan dan kebergantungan kepada import pada masa hadapan.
Justeru, beliau menyeru agar generasi muda segera bangkit untuk mengisi kelompongan dalam pengisian tenaga kerja mahir dan berdaya saing dalam kalangan mereka.
Lestarikan industri pertanian
Beberapa langkah strategik dirangka untuk menarik minat generasi muda.
Antaranya, dipertingkatkan insentif kerajaan; diperkenalkan teknologi modern; serta diperbetulkan persepsi terhadap kerjaya dalam sektor pertanian bagi memastikan kelestarian industri pertanian, yang berupaya menemui citarasa jiwa muda sambil pada masa yang sama berupaya merealisasi aspirasi negara.
Kita berasa lega sedikit memandangkan sektor pertanian mutakhir di Sarawak sudah menyaksikan lanskap yang berinovasi teknologi tinggi dan modern.
Kini sudah dapat disaksikan penggunaan dron, hidroponik, serta analitik data, pada beberapa kawasan, dan pengamalan penggunaan beberapa naratif baharu seperti kecerdasan buatan yang mudah disebut Artificial Intelligence (AI), selain internet kebendaan (Internet of Things IoT) dan banyak lagi.
Sebagai golongan yang relatif mudah terakses kepada pendidikan berbanding generasi terdahulu, generasi muda wajar mengambil alih tempat golongan tua dalam sektor pertanian.
Golongan tua kini sepatutnya tidak wajar dibiarkan terus bergelumang membanting tulang dalam sektor pertanian lagi.
Sepatutnya mereka dibiar berehat dalam suasana persaraan dan menikmati iklim kemajuan dan kemakmuran.
Usaha untuk melenyapkan persepsi negatif tentang kerja pertanian dalam kalangan generasi muda sedang rancak diusahakan oleh pihak kerajaan.
Sesungguhnya, pertanian tidak boleh lagi dianggap sebagai kerja yang kotor, sebaliknya sudah menjadi perniagaan berpendapatan tinggi dengan keupayaan memberi pendapatan mencecah sekurang-kurangnya RM10,000 sebulan.
Eksport baharu
Empat jenis tanaman strategik telah dikenalpasti sebagai penggerak utama bagi memperkasakan pendapatan petani Sarawak, sekali gus menganga ruang dan peluang untuk menjadi eksport baharu dari Bumi Kenyalang menjelang tahun 2030.
Tanaman yang dimaksudkan adalah kelapa, durian, nanas dan pisang, atas pertimbangan potensi pemasaran, kesesuaian iklim dan kesuburan tanah, serta berupaya menemui tuntutan industri dalam pasaran global.
Kini sudah pun dibuka kilang pemprosesan nanas di Sibu dan sebuah lagi sedang dibina di Miri.
Perladangan durian, nanas dan pisang kini diperkembangkan pada kawasan seluas 20,000 hektar bagi masing-masing komoditi, manakala ladang kelapa sekitar 9,000 hingga 20,000 hektar.
Menurut Setiausaha Tetap Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Sirai Daha, pasaran Semenanjung Malaysia yang memerlukan pengeluaran pisang Nipah pada kadar 20 tan seminggu merupakan peluang keemasan bagi pengusaha tani, terutamanya di luar bandar untuk menambah pendapatan mereka.
Pertanian Bestari
Di tangan generasi muda, kaedah pengeluaran hasil pertanian memungkinkan kecekapan pada tahap yang tinggi, serta pemanfaat sumber yang terkawal, lantas menghasilkan pulangan yang jauh berlipat ganda berbanding kaedah tradisional.
Kaedah pertanian Bestari berupaya memantau perubahan pada tanah, iklim, saliran, pembajaan dan beberapa faktor lain, selain peka berhubung ramalan cuaca, jangkitan serangga dan malapetaka alam sebelum terjadi.
Ini memungkinkan penyesuaian tempat pada masa yang tempat dan mengelak musibah yang boleh mendahsyatkan hasil tanaman.
Dengan penggunaan peralatan modern terautomasi mudahlah kerja-kerja penyemburan, pembajaan, integrasi air dengan baja, mengelak pembaziran sumber tani, sekali gus menjimatkan kos pengeluaran.
Generasi muda hari ini, sebagai pewaris pentadbiran pada masa akan datang perlu memanfaatkan kudrat tenaga yang masih kuat agar kemudian nanti keterjaminan makanan dan masa depan Sarawak terus gemilang sebagai wilayah contoh yang berupaya mengangkat nama Malaysia harum dan gagah di persada dunia.
Tidak sia-sialah Sarawak yang merupakan wilayah yang memiliki keluasan tanah yang jauh lebih unggul daripada kesemua negeri di Malaysia ini, kekal ter kedepan dari sekarang sehingga bila-bila.