![]() |
AJAX Error Sorry, failed to load required information. Please contact your system administrator. |
|
| Close | ||
Tanjung Embang dan Konsep Pembangunan Bandar
Nama Tanjung Embang mula meniti di bibir rakyat Sarawak selepas nama itu diumumkan secara rasmi oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg sebagai tapak baharu untuk pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada 19 Januari 2025.
Tapak itu dipilih selepas pemilihan tapak pertama di kawasan Matang didapati tidak sesuai kerana kawasan berkenaan terlalu hampir dengan ruang udara negara jiran Indonesia di Kalimantan yang boleh membawa kerumitan laluan ruang udara antarabangsa.
Pemindahan tapak lapangan terbang yang baharu itu merupakan strategi jangka panjang untuk meletak sektor penerbangan menghadapi cabaran masa depan melangkaui tempoh antara 30 hingga 50 tahun mendatang.
Masa depan Tanjung Embang
Dalam Bahagian Samarahan, Tanjung Embang terletak dalam satu kelompok dengan empat buah lagi kampung iaitu Kampung Semilang, Kampung Beradek, Kampung Muara Tebas dan Kampung Beliung.
Tapak yang dikenalpasti bakal dijadikan sebuah aerotropolis ini melibatkan kawasan seluas 110 kilometer persegi.
Dengan memiliki penghuni dalam lingkungan 500,000 penduduk, Tanjung Embang bakal melakar sebagai mercu tanda ekonomi masa depan bagi Sarawak, dan ia adalah sebahagian strategi pembangunan jangka panjang dalam kerangka Kuching Raya (Greater Kuching).
Struktur bandar Tanjung Embang di rekabentuk sebagai kelompok masyarakat yang berdayatanggung kendiri.
Dua buah bandar bakal dilengkapi dengan industri ringan yang memiliki ciri-ciri non-pencemaran sekitar persempadanannya bagi tujuan untuk membekal peluang pekerjaan kepada pemastautin, dan mengelakkan keperluan bergerak keluar dari kawasan.
Pendek kata, dengan wujudnya hab pekerjaan, perkhidmatan, dan zon kediaman dalam persekitaran terdekat, Tanjung Embang menawarkan ekosistem gaya hidup yang lengkap bagi penghuninya diam, bekerja, belajar, bermain, dan bergerak dengan selesa dalam kelompok masyarakat dan wilayah Kuching yang lebih luas.
Aerotropolis
Aerotropolis adalah konsep perancangan bandar yang memusatkan ekonominya, prasarananya, dan penggunaan tanahnya ke atas sebuah lapangan terbang utama.
Dalam erti kata lain, sebuah aerotropolis mencirikan kota lapangan terbang bagi tujuan logistik dan perdagangan, dikelilingi oleh kawasan-kawasan perdagangan dan perumahan yang berhubung kait dengan sektor penerbangan.
Tiga projek prasarana utama Tanjung Embang melibatkan pembinaan sebuah pelabuhan laut dalam, dan sebuah terminal gas, selain sebuah lapangan antarabangsa. Projek ini adalah projek yang kritikal dalam kerangka kemakmuran Bumi Kenyalang ini.
Pembangunan Tanjung Embang ini dilihat sebagai perancangan yang signifikan sekali memandangkan kawasan ini dekat dengan kluster universiti di Samarahan, tanah pertanian yang subur di Asajaya, dan Pusat Konvensyen Komersial Borneo (BCCK).
Hakikat bahawa Tanjung Embang bakal memiliki sebuah pelabuhan laut dalam, sebuah lapangan antarabangsa baharu, dan sebuah terminal gas, dapatlah dibayangkan betapa sebuah kampung yang kecil dan agak terpinggir ini akan muncul menjadi sebuah bandar yang akan dihuni oleh kira-kira 500,000 penduduk.
Dalam tempoh lima tahun dari sekarang, jumlah pelaburan dalam anggaran melebihi RM100 billion tertera dalam Peta Gas Sarawak.
Pembangunan bandar
Pembangunan bandar ialah seni, dan sekaligus juga sains perancangan fisikal, sosial, dan ekonomi untuk membentuk pertumbuhan kawasan bandar yang mampan, berdaya huni, dan teratur.
Dalam kes pembinaan projek lapangan terbang antarabangsa Kuching yang baharu itu ternyata sekali kebijaksanaan kerajaan Sarawak di bawah teraju seorang pemimpin yang bukan setakat berilmu dan berwawasan, tetapi beriltizam untuk memastikan setiap pelosok Bumi Kenyalang dapat dijalari oleh kemajuan yang menyusup secara moden dan bertaraf gemilang, konsep pembinaan bandar kini sudah menjangkau dimensi baharu yang futuristik sifatnya.
Ilham Dubai
Baru-baru ini kerajaan Sarawak telah mengambil alih MASwings dan menjenamakan semua pesawat menjadi AirBorneo.
Langkah ini mengambil ilham dari Dubai yang kini memiliki Emirates Airlines yang merupakan syarikat penerbangan terbesar di dunia.
Dubai memulai perniagaan penerbangannya dengan hanya menyewa dua buah pesawat daripada Pakistan Airlines.
Ilham itulah yang merealisasikan pengambilalihan MASwings oleh AirBorneo, dan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pun menelusuri landasan yang telah dicarta oleh Dubai itu.
Tidak dapat disangkalkan lagi bahawa dengan adanya strategi pembangunan yang begitu kreatif dan non-konvensional, berkemungkinan besar pembangunan bandar pada masa akan datang bakal memasuki dimensi baharu.
Lanskap pembangunan Bumi Kenyalang sudah menghampiri ciri-ciri kota global, dan meletakkan Sarawak sebagai wilayah yang sebaris dengan negara-negara maju dan makmur.