![]() |
AJAX Error Sorry, failed to load required information. Please contact your system administrator. |
|
| Close | ||
Menyemai Kasih Membina Generasi
Ungkapan 'menyemai kasih' merupakan bahasa kiasan yang bermaksud membina perasaan sayang terhadap seseorang atau sesuatu.
Perkataan 'menyemai' yang makna asalnya bermaksud 'menanam atau menabur benih di tempat tertentu untuk kemudiannya dipindahkan ke tempat lain' adalah, dalam konteks ini, membawa konotasi tentang perbuatan membina sikap yang positif agar berkembang menjadi amalan hidup yang sentiasa berpandukan nilai-nilai positif yang boleh mewujudkan keharmonian dalam hidup.
Justeru, keseluruhan ungkapan 'menyemai kasih membina generasi' jelas sekali merujuk kepada amalan mengasuh nilai-nilai positif dalam kalangan setiap individu agar menjadi anggota masyarakat yang sentiasa cakna dan peka akan kepentingan keharmonian dalam kehidupan harian.
Masyarakat madani
Asuhan 'menyemai kasih' harus dimulakan dari rumah agar amalan itu terus subur untuk 'dipindahkan' ke dalam khalayak masyarakat.
Ini perlu diusahakan secara berterusan, bukan berkala.
Semaian itu harus bermula dari rumah di bawah kelolaan ibu bapa dalam institusi keluarga, diteruskan oleh golongan pengasuh dan pembimbing di peringkat prasekolah, begitu juga oleh golongan pendidik di semua peringkat sekolah, sehinggalah ke peringkat universiti.
Apabila 'semaian' itu menjalar-biak dalam masyarakat maka akan wujudlah budaya positif yang instrumental untuk mengidentitikan masyarakat madani.
Menyemai kasih perlu diserlahkan pada masa kini memandangkan sudah wujud suatu macam keadaan keterhakisan nilai-nilai positif dalam masyarakat.
Nasihat agar kita mencontohi didikan keluarga sekitar 20 atau 30 tahun dahulu sudah dianggap tidak relevan lagi, kerana pola hidup masa kini sering diasak oleh gejala-gejala seperti pengaruh teknologi, media sosial, rakan sebaya dan pelbagai anasir luar yang dianggap ancaman terbesar mendepani generasi masa kini.
Naratif berkaitan pola kehidupan zaman nenek moyang kita yang kita anggap murni untuk diteladani tiada ruang untuk meresap ke dalam pemahaman generasi masa kini kerana asakan yang disebut tadi telah membenih beberapa bentuk kesongsangan dalam masyarakat seperti sifat angkuh, tamak, gelojoh, dengki, meninggi diri, dan seumpamanya.
Segandingan dengan itu pula timbul kepincangan sosial seperti penagihan dadah, jenayah, buli, pelbagai bentuk penipuan, dan bermacam-macam lagi yang muncul dalam masyarakat sebagai kebejatan sosial yang menjijikkan.
Raikan kepelbagaian
Dalam sebuah masyarakat yang majmuk seperti Malaysia, kita harus rasa bersyukur kerana di sekeliling kita wujud pelbagai bahasa, adat resam, agama, dan kelompok etnik.
Daripada kepelbagaian itulah maka tercorak keindahan warna yang menjadikan masyarakat Malaysia mendapat julukan Truly Asia (Asia Sebenar).
Kepelbagaian itu seharusnya kita raikan bersama kerana melalui situasi demikianlah masyarakat di Malaysia ini muncul cemerlang dari kerumunan warga sejagat yang istimewa unik.
Melalui kerencaman corak pakaian, makanan, tarian, kesenian, dan bermacam-macam lagi, Malaysia dianggap sebagai satu-satunya tempat di muka bumi ini yang menggarap hampir ke semua warna, rasa, bunyian, dan pemandangan Asia tertuang dalam satu bancuhan.
Inilah ciri yang mengungguli promosi sektor pelancongan yang berupaya membawa pulangan positif ke dalam ekonomi negara.
Menyedari akan hakikat inilah maka usaha menyemai kasih perlu diteruskan agar setiap generasi kita tidak 'tergelincir' dari landasan ciri unik masyarakat madani pada bila-bila masa, dari satu generasi ke generasi menyusul, tidak kira sejauh mana kemajuan dan kemakmuran yang kita impikan berjaya kita gapai.
Merosak bahtera di segara ganas
Sudah ada petanda yang menunjukkan usaha menyemai kasih ini perlu dipergiatkan secara serius apabila kita nampak bagaimana segelintir kelompok manusia yang bergelar orang politik menunjukkan perangai dan fiil yang agak ganjil ketika bersidang dalam institusi pemerintah.
Mereka berhujah tentang hal-hal yang penting berkaitan urus tadbir negeri dan negara tetapi ada dalam kalangan mereka yang melencong ke lembah emosi apabila hujahan mereka dibawa ke dalam perdebatan.
Debat yang sepatutnya bersifat intelektual, namun tiba-tiba boleh terjelma menjadi ocek-ocek kosong yang seibarat rengekan bayi yang merimaskan.
Ada kalanya mereka sentuh isu perkauman, malah hal-hal berkaitan agama pun ada kalanya sanggup dipolitikkan, walaupun mereka sering diperingatkan perbuatan sedemikian ibarat merosakkan bahtera ketika mereka bersama-sama melayarinya menelusuri segara yang luas yang kadang kala dilanda ombak yang mengganas.
Sesungguhnya menyemai kasih dalam kalangan masyarakat kita merupakan satu pelaburan untuk menegak masa depan masyarakat yang kental berbudaya.
Jika berhemah kita menyemai kasih, dan dengan penuh iltizam kita menjaga kelangsungan pembinaan generasi, maka keharmonian masyarakat tidak akan tergugah dan keamanan jagat raya sudah pasti dapat dinikmati dari satu generasi ke generasi penerus sampai bila-bila.