Aidilfitri Satukan Komuniti, Pemimpin Dekati Rakyat di Belaga
BELAGA: Sambutan Hari Raya Aidilfitri dimanfaatkan sebagai platform memperkukuh perpaduan apabila pemimpin turun padang menyantuni komuniti pelbagai kaum dan agama di daerah ini.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak merangkap ADUN Belaga, Datuk Liwan Lagang bersama isteri, Datin Rosnie Bilang mengadakan kunjungan ke komuniti Muslim di Kampung Melayu dan Kampung Hijrah Jaya, pada Sabtu.
Turut mengiringi, Ahli Dewan Negara, Senator Michael Mujah Lihan bersama isteri, Annie Igang, wakil Pejabat Daerah Belaga, Zain Rocky serta pemimpin masyarakat tempatan.
Kunjungan tersebut melibatkan lawatan ke beberapa kediaman pemimpin komuniti termasuk Temenggong Ajang Sirek, Penghulu Abu Talip Mokhtar, Datuk Awang Bujang Awang Antek serta ketua kaum setempat.
Menurut beliau, ziarah Aidilfitri bukan sekadar tradisi, sebaliknya menjadi medium penting dalam mengeratkan silaturahim, memupuk saling menghormati dan memperkukuh perpaduan masyarakat.
Pendekatan turun padang itu juga membuka ruang interaksi langsung antara pemimpin dan rakyat bagi memahami keperluan serta aspirasi komuniti.-EDISI UKAS