Aidilfitri Perkukuh Perpaduan Komuniti di Kampung Melayu Betong
BETONG: Sambutan Hari Raya Aidilfitri terus menjadi platform penting dalam memperkukuh perpaduan apabila pemimpin turun padang menyantuni masyarakat di peringkat akar umbi.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan merangkap ADUN Layar, Datuk Gerald Rentap Jabu bersama isteri, Datin Rosemarie Wong mengadakan kunjungan ke Kampung Melayu Betong, pada Sabtu.
Kunjungan dari jam 3 petang hingga 5.30 petang itu melibatkan tiga lokaliti iaitu Kampung Masjid, Kampung Tengah dan Kampung Hilir, dengan kehadiran kira-kira 50 penduduk dalam suasana penuh muhibah.
Menurut Datuk Gerald, amalan kunjung-mengunjung sempena Aidilfitri perlu terus diperkasa kerana berperanan besar dalam mengukuhkan silaturahim serta menyemai semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Sarawak.
Katanya, tradisi tersebut bukan sahaja mengeratkan hubungan, malah menjadi asas kepada kestabilan sosial yang penting untuk pembangunan berterusan.
Beliau turut merakamkan penghargaan atas sambutan hangat penduduk setempat serta mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua yang hadir.
Dalam pada itu, beliau menegaskan perpaduan kukuh di peringkat komuniti akan memudahkan pelaksanaan agenda pembangunan kerajaan demi kesejahteraan rakyat.
Beliau juga menggalakkan peranan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) terus diperkasa sebagai penghubung utama antara kerajaan dan rakyat.
Sepanjang lawatan, beliau turut mengunjungi beberapa kediaman pemimpin masyarakat sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan mereka dalam memelihara keharmonian serta pembangunan kampung.
Turut hadir, Pemancha Masyarakat Iban Daerah Betong Norman Ngumbang, Penghulu Kawasan Kampung Melayu Betong Kon @ Sapawi Yahu, Penghulu Stanley Ejau Erin, Penghulu Sebastian Kadam Randy, Kaunselor Abdul Rahim Jaini serta para ketua kampung. –EDISI UKAS