Sambutan Perayaan Perkukuh Perpaduan Komuniti Pelbagai Kaum di Limbang
LIMBANG: Sambutan perayaan terus menjadi platform penting dalam memperkukuh perpaduan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum di negeri ini, khususnya di Limbang.
Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia merangkap Ahli Parlimen Limbang, Datuk Hasbi Habibollah berkata, penganjuran rumah terbuka bukan sekadar meraikan perayaan, malah menjadi medium berkesan dalam merapatkan hubungan serta memupuk nilai hormat-menghormati dan toleransi.
“Perpaduan ini perlu terus dikekalkan melalui kerjasama, hormat-menghormati serta toleransi,” katanya ketika ditemui semasa Majlis Rumah Terbuka Ahli Parlimen Limbang di Dewan Bunga Raya, Sabtu.
Menurut beliau, nilai perpaduan yang dizahirkan melalui sambutan perayaan perlu diterapkan dalam kehidupan seharian bagi memastikan keharmonian terus terpelihara.
Sementara itu, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap ADUN Bukit Kota, Datuk Abdul Rahman Ismail menasihatkan agar sambutan perayaan diraikan secara sederhana susulan ketidaktentuan ekonomi global.
Namun katanya, perayaan tetap memainkan peranan penting dalam memperkukuh kerjasama dan kesatuan masyarakat.
Majlis rumah terbuka tersebut berlangsung meriah dengan kehadiran masyarakat pelbagai kaum, sekali gus mencerminkan semangat perpaduan yang kukuh serta relevannya tradisi rumah terbuka sebagai medium penyatuan rakyat.
Turut hadir ADUN Batu Danau, Dato Paulus Palu Gumbang bersama isteri Datin Mary Sindang serta Timbalan Residen Bahagian Limbang, Marie Cotilla Louise. –EDISI UKAS