Keharmonian Sarawak Diperkukuh Melalui Sambutan Perayaan Pelbagai Kaum
MIRI: Sambutan Majlis Makan Malam Tahun Baharu Cina Persatuan Teochew Miri 2026 berlangsung meriah, mencerminkan keharmonian masyarakat berbilang kaum di Sarawak serta komitmen terhadap kecemerlangan pendidikan generasi muda.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap ADUN Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, Sarawak bertuah kerana rakyatnya hidup dalam suasana aman dan bebas mengamalkan budaya serta kepercayaan masing-masing.
Menurut beliau, kepelbagaian perayaan yang diraikan sepanjang tahun menjadi lambang perpaduan kukuh yang perlu terus dipelihara.
“Keharmonian antara kaum dan agama adalah asas kepada kestabilan dan kemajuan negeri,” katanya.
Beliau turut menegaskan peranan penting persatuan seperti Persatuan Teochew dalam memelihara warisan budaya serta memupuk kecemerlangan pendidikan dalam kalangan generasi muda.
Majlis turut menyaksikan penyampaian Anugerah Kecemerlangan Akademik kepada anak-anak ahli persatuan sebagai galakan untuk terus berjaya.
Turut hadir Datuk Bandar Bandaraya Miri merangkap ADUN Pujut, Adam Yii Siew Sang serta wakil Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap ADUN Piasau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew. –EDISI UKAS