Proses Persempadanan Jadi Penentu Penambahan 17 Kerusi DUN Sarawak
KUCHING: Proses persempadanan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) kini menjadi langkah kritikal dalam merealisasikan penambahan 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang telah diluluskan, sekali gus meningkatkan jumlah keseluruhan kerusi daripada 82 kepada 99.
Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar berkata, selepas kelulusan di peringkat DUN, tanggungjawab seterusnya kini terletak sepenuhnya di bawah bidang kuasa SPR untuk melaksanakan kajian serta proses persempadanan di peringkat akar umbi.
Menurut beliau, setakat ini DUN Sarawak masih belum menerima sebarang laporan rasmi daripada SPR berhubung pengesahan dan cadangan persempadanan bagi 17 kerusi baharu tersebut.
“Selepas laporan daripada SPR diterima, cadangan persempadanan akan dipamerkan kepada umum bagi memberi ruang kepada sebarang bantahan sebelum diwartakan, seterusnya dibawa ke Parlimen untuk kelulusan.
“Penambahan kerusi Dewan hanya memerlukan sokongan majoriti mudah dan dijangka tidak menghadapi masalah. Namun, penambahan kerusi Parlimen memerlukan sokongan dua pertiga ahli Parlimen,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa kunjungan Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri di kediaman Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh, di sini pada Ahad.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa faktor geografi perlu diberi perhatian dalam proses persempadanan di Sarawak dan tidak boleh hanya bergantung kepada jumlah populasi semata-mata.
Sehubungan itu, beliau berharap pihak Persekutuan dan SPR dapat memahami keunikan geografi negeri ini dalam melaksanakan proses tersebut.
Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan bahawa tempoh matang DUN Sarawak adalah sehingga Februari 2027, namun pembubaran boleh dilakukan pada bila-bila masa oleh Yang di-Pertua Negeri atas nasihat Premier Sarawak.
“Kuasa membubarkan Dewan adalah di bawah Yang di-Pertua Negeri, manakala Premier hanya memberi nasihat dan membuat pengumuman,” jelas beliau.
Turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan serta Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato Sri Huang Tiong Sii. – EDISI UKAS