KUCHING: Kerajaan Sarawak akan memperkenalkan sistem pengurusan sisa pepejal sebagai langkah jangka panjang dalam memelihara alam sekitar serta mengurangkan kebergantungan terhadap tapak pelupusan sampah di negeri ini.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh berkata, langkah tersebut merupakan antara inisiatif penting yang sedang dirangka susulan cabaran perubahan iklim serta keadaan cuaca ekstrem yang dijangka berlaku dalam beberapa bulan akan datang.
"Kajian akhir sedang dilaksanakan dan akan dibentangkan dalam Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk kelulusan dan mungkin kita dapat mengurangkan tapak pelupusan sampah.
"Salah satu tindakan yang kita ada sekarang ialah untuk menghentikan kebergantungan kepada tapak pelupusan sampah demi menyesuaikan dan memelihara alam sekitar," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa majlis terbuka Hari Raya Aidilfitri beliau di kediaman rasminya di Demak Laut pada Ahad.
Dalam pada itu, Datuk Len Talif turut menasihati rakyat Sarawak untuk tidak melakukan pembakaran terbuka memandangkan cuaca kering akan berlaku untuk bulan mendatang.
Menurutnya, keadaan cuaca yang terlalu ekstrem sama ada hujan berlebihan yang mengakibatkan banjir atau musim kering berpanjangan yang meningkatkan risiko kebakaran terbuka, memerlukan perhatian serius semua pihak.
"Sebab itulah kita akan mengeluarkan satu kenyataan rasmi di mana setiap daripada kita mempunyai peranan masing-masing untuk memastikan alam sekitar kita sentiasa dipelihara dengan baik," jelas beliau.
Hadir semasa rumah terbuka tersebut, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Snowdan Lawan dan Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Dato Sri Huang Tiong Sii. -EDISI UKAS
Disediakan oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Jonnie Kiew & Ahmad Daniel Faiz