Lebih 10,000 Rakyat Banjiri Majlis Ramah Mesra Rakyat Bersama TPM
KUCHING: Lebih 10,000 rakyat membanjiri Majlis Ramah Mesra Rakyat bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof di CIDB Convention Centre di sini pada Ahad sekali gus mencerminkan sambutan luar biasa serta keyakinan tinggi terhadap kepimpinan kerajaan.
Kehadiran pelbagai lapisan masyarakat itu bukan sahaja memeriahkan suasana, malah memperlihatkan hubungan erat antara pemimpin dan rakyat yang terus diperkukuh melalui pendekatan turun padang.
Majlis berkenaan turut menjadi platform penting bagi rakyat menyuarakan pandangan serta keperluan secara langsung, selari dengan usaha kerajaan memastikan setiap dasar dan inisiatif benar-benar memenuhi keperluan di peringkat akar umbi.
Dalam masa sama, program ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkasa agenda pembangunan inklusif, termasuk penyediaan kemudahan asas, bekalan air bersih serta peralihan kepada tenaga mampan demi kesejahteraan rakyat.
Turut hadir ialah pemimpin tempatan, wakil agensi kerajaan serta komuniti setempat yang bersama-sama memeriahkan majlis tersebut.
Penganjuran program seumpama ini dijangka terus menjadi pemangkin dalam memperkukuh jalinan antara kerajaan dan rakyat, sejajar dengan aspirasi pembangunan Sarawak yang mampan dan inklusif.-EDISI UKAS