Rabies Kini Libatkan Kucing, Perhebat Pendekatan Menyeluruh Kekang Rabies
KUCHING: Ancaman rabies di Sarawak kini memasuki fasa baharu apabila jangkitan tidak lagi tertumpu kepada anjing semata-mata, sebaliknya turut melibatkan kucing, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian berkata, perkembangan tersebut menuntut pendekatan lebih komprehensif bagi mengekang penularan penyakit berkenaan.
Beliau mendedahkan, setakat tahun ini, tiga kes rabies melibatkan kematian telah direkodkan, sekali gus menunjukkan penyakit itu masih belum dapat dibendung sepenuhnya.
Menurutnya, trend semasa memperlihatkan peningkatan jangkitan berpunca daripada kucing melalui gigitan dan cakaran.
“Separuh daripada jangkitan sekarang datang daripada kucing, bukan hanya anjing liar,” katanya ketika ditemui semasa Majlis Ramah Mesra Rakyat anjuran Gabungan Penghulu & Ketua Masyarakat Parlimen Petra Jaya di CIDB Convention Centre Sarawak di sini pada Ahad.
Sehubungan itu, beliau menegaskan keperluan untuk menilai semula strategi kawalan rabies, termasuk memperkukuh pemantauan terhadap populasi haiwan serta memperluas program vaksinasi.
Dalam masa sama, pemilik haiwan peliharaan diingatkan supaya memastikan vaksinasi tahunan dilaksanakan, selain mengambil tindakan segera sekiranya berlaku gigitan atau cakaran.
“Jika digigit atau dicakar, segera cuci luka dan pergi ke klinik kerana kita tidak tahu sama ada haiwan itu dijangkiti,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa usaha membendung rabies memerlukan kerjasama semua pihak, termasuk masyarakat, dan tidak boleh bergantung kepada agensi kerajaan semata-mata.
“Kita semua kena main peranan, ambil tanggungjawab bersama untuk pastikan rabies dapat dikawal,” ujarnya.
Tambah beliau, kerajaan akan terus memperkasa program vaksinasi percuma serta kempen kesedaran, namun kejayaan mengekang rabies bergantung kepada tahap keprihatinan dan tindakan masyarakat secara kolektif.-EDISI UKAS