Pertandingan Lampu Raya Semarakkan Perpaduan Komuniti di Tanjong Batu
BINTULU: Penganjuran pertandingan lampu hiasan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri di kawasan Tanjong Batu berjaya menyemarakkan suasana perayaan di samping memperkukuh semangat kejiranan dalam kalangan penduduk setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, inisiatif tersebut melibatkan penyertaan aktif komuniti di Kampung Assyakirin Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 serta Kampung Jabai yang tampil dengan pelbagai hiasan lampu LED dan dekorasi kreatif.
Menurut beliau, suasana kampung pada waktu malam menjadi lebih meriah apabila hampir setiap kediaman dihiasi dengan rekaan lampu yang menarik dan berwarna-warni, sekali gus mencipta tarikan visual yang mencerminkan semangat Aidilfitri.
“Pertandingan ini bukan sahaja mencantikkan persekitaran kampung, malah menggalakkan penglibatan seluruh ahli keluarga dalam aktiviti menghias rumah, sekali gus mengeratkan hubungan kekeluargaan,” katanya ketika meninjau kawasan Kampung Assyakirin, pada Sabtu.
Beliau menambah, program seumpama itu turut menjadi platform penting dalam memupuk nilai kerjasama serta memperkukuh perpaduan komuniti, selaras dengan usaha membina masyarakat yang harmoni dan inklusif.
“Penglibatan aktif penduduk mencerminkan semangat gotong-royong yang tinggi serta kesepakatan dalam menjayakan aktiviti komuniti,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau mencadangkan agar pertandingan berkenaan diteruskan sebagai acara tahunan dengan skala penyertaan yang lebih besar pada masa akan datang.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pemimpin komuniti dan penduduk yang telah memberikan komitmen tinggi dalam memastikan kejayaan penganjuran program tersebut.
Mengakhiri ucapannya, beliau menzahirkan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh umat Islam serta berharap sambutan perayaan terus diraikan dalam suasana penuh keharmonian bersama keluarga dan masyarakat setempat.-EDISI UKAS