Bekalan Air, Tenaga Kekal Stabil, Kerajaan Perhebat Langkah Proaktif
KUCHING: Kerajaan terus memperkukuh kesiapsiagaan bagi memastikan bekalan air dan tenaga negara kekal stabil meskipun berdepan cabaran perubahan cuaca serta ketidaktentuan global.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, pemantauan rapi sedang dilaksanakan khususnya dalam menghadapi peralihan monsun yang berpotensi membawa cuaca panas serta risiko kemarau di beberapa kawasan.
“Setakat ini laporan kita keadaan masih terkawal tetapi kita akan terus memantau dan mencari jalan untuk memastikan bahawa bekalan air kepada rakyat kita akan sentiasa dapat diadakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa Majlis Ramah Mesra Rakyat anjuran Gabungan Penghulu & Ketua Masyarakat Parlimen Petra Jaya di CIDB Convention Centre Sarawak di sini pada Ahad.
Ahli Parlimen Petra Jaya itu menambah, langkah proaktif turut digerakkan termasuk memastikan kapasiti kolam takungan mencukupi serta menyediakan alternatif seperti penghantaran air menggunakan lori bagi menjamin kelangsungan bekalan.
Dalam masa sama, beliau menyeru orang ramai agar mengamalkan penggunaan air secara berhemah, terutama ketika cuaca panas bagi memastikan bekalan dapat dikekalkan.
“Rakyat kenalah menggunakan air secara berhemat dalam keadaan cuaca panas supaya bekalan dapat dikekalkan,” katanya.
Mengulas sektor tenaga, beliau berkata bekalan ketika ini masih berada pada tahap stabil dengan pelaksanaan langkah mitigasi termasuk perancangan sumber alternatif oleh syarikat berkaitan kerajaan.
“Bekalan kita setakat ini masih dalam keadaan yang stabil,” katanya.
Dalam perkembangan sama, kerajaan turut memantau peningkatan harga minyak global bagi memastikan kestabilan harga bahan api domestik terus terpelihara.
Beliau berkata, kerajaan juga masih mengekalkan subsidi bahan api termasuk RON95 walaupun menanggung kos tinggi setiap bulan.
“Kerajaan terpaksa menanggung subsidi yang begitu besar, tidak kurang dua bilion ringgit sebulan,” katanya.
Tambahnya, penguatkuasaan juga diperkukuh bagi membanteras aktiviti penyeludupan bahan api serta memastikan bekalan dalam negara kekal mencukupi.-EDISI UKAS