TYT Sarawak & Isteri Santuni Lebih 10,000 Rakyat di Majlis Ramah Mesra Rakyat
KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, menyantuni lebih 10,000 rakyat dalam Majlis Ramah Mesra Rakyat anjuran Gabungan Penghulu & Ketua Masyarakat Parlimen Petra Jaya di CIDB Convention Centre Sarawak di sini pada Ahad.
Ketibaan beliau berdua sekitar jam 2.20 petang disambut oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof.
Majlis yang berlangsung seawal jam 10 pagi itu terus dibanjiri pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat, sekali gus mencerminkan semangat kebersamaan dan kemeriahan sambutan Aidilfitri di negeri ini.
Selain menikmati jamuan yang disediakan, Tun Pehin Sri Wan Junaidi dan isteri turut meluangkan masa menyaksikan album khas yang memaparkan perjalanan perkhidmatan Datuk Amar Fadillah di peringkat Persekutuan, negeri dan Parlimen.
Kehadiran TYT Sarawak jelas menyerlahkan keakraban kepimpinan negeri bersama rakyat dalam suasana penuh muhibah dan harmoni. -EDISI UKAS
Disediakan oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: George Embie