Ribuan Meriahkan Rumah Terbuka Datuk Amar Awang Tengah & Isteri, Suasana Aidilfitri Penuh Kehangatan
LAWAS: Suasana meriah penuh warna-warni Aidilfitri jelas terasa apabila ribuan pengunjung membanjiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan serta isteri Dato Dayang Morliah Awang Daud di Hotel Seri Malaysia di sini pada Ahad.
Seawal pagi, orang ramai mula hadir bersama keluarga, mengenakan pakaian tradisi berwarna-warni, sekali gus mewujudkan suasana harmoni yang mencerminkan semangat perpaduan masyarakat berbilang kaum di Sarawak.
Kanak-kanak dilihat teruja menikmati juadah, manakala orang dewasa tidak melepaskan peluang beramah mesra serta bertemu pemimpin dalam suasana santai dan mesra rakyat.
Majlis tersebut bukan sahaja menjadi medan menjamu selera dengan pelbagai hidangan tradisional, malah turut menjadi platform mengeratkan silaturahim antara pemimpin dan rakyat.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail, Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau, Dato Paulus Palu Gumbang serta tetamu kenamaan lain.
Orang ramai yang masih belum berkesempatan diingatkan bahawa hari ini merupakan hari terakhir penganjuran majlis berkenaan peluang terbaik untuk bersama-sama merasai kemeriahan Aidilfitri dalam suasana penuh kebersamaan.-EDISI UKAS