Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Satok Himpun 2,000 Pengunjung
KUCHING: Rumah Terbuka Aidilfitri 2026 bagi DUN Satok berlangsung meriah dengan kehadiran kira-kira 2,000 pengunjung daripada pelbagai kaum dan latar belakang di Hikmah Exchange and Exhibition Centre di sini, semalam.
Majlis anjuran Pusat Khidmat DUN Satok itu berlangsung dari jam 10 pagi hingga 4.30 petang dan dihoskan oleh Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (Sarawak Energy Berhad dan PETROS) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok, Datuk Ibrahim Baki.
Sambutan tersebut turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Prof. Dr Sim Kui Hian, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah serta Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.
Turut hadir barisan Timbalan-Timbalan Menteri Kabinet Sarawak dan beberapa orang Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Para tetamu yang hadir bukan sahaja berpeluang beramah mesra bersama pemimpin setempat, malah turut menikmati pelbagai juadah istimewa Hari Raya yang disediakan.
Antara hidangan yang menjadi tarikan termasuk juadah tradisional serta aneka kuih-muih yang mencerminkan kepelbagaian budaya masyarakat Sarawak.
Penganjuran rumah terbuka ini bukan sahaja mengeratkan silaturahim antara pemimpin dan masyarakat, malah menyemarakkan semangat Aidilfitri yang sarat dengan nilai kesyukuran, perpaduan dan kebersamaan.-EDISI UKAS