Tenunan Kain Karap Diperkasa, Warisan Iban Jadi Sumber Ekonomi Baharu
SELANGAU: Warisan tenunan kain karap masyarakat Iban kini melangkah ke fasa baharu apabila bukan sekadar dipelihara, malah diposisikan sebagai sumber ekonomi berpotensi kepada komuniti setempat.
Perkembangan ini dizahirkan menerusi Bengkel Tenunan Kain Karap Siri 2 yang menutup tirainya di Rh Suli, Lubok Bukut Asal pada Ahad.
Majlis penutupan disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai yang menegaskan bahawa kemahiran tradisional perlu diterjemahkan kepada aktiviti ekonomi yang mampan.
Menurut beliau, peserta perlu memanfaatkan kemahiran yang diperoleh secara serius dan berterusan bagi meningkatkan pendapatan.
“Jangan hanya menjadikannya sebagai aktiviti sampingan. Jika diusahakan secara konsisten, hasil tenunan berkualiti tinggi ini mampu menembusi pasaran yang lebih luas,” katanya.
Beliau turut menggalakkan peserta memanfaatkan platform digital dan media sosial sebagai medium promosi bagi memperluas capaian pasaran selaras dengan perkembangan ekonomi semasa.
Bengkel anjuran bersama Kelab Belia Proaktif Lubok Bukut, The Iban Women Charitable Trust dan JKKK Rh Suli itu menarik penyertaan 17 peserta, majoritinya wanita, sekali gus mencerminkan minat berterusan dalam kalangan komuniti terhadap seni warisan tersebut.
Selain memelihara identiti budaya, penglibatan aktif golongan wanita dalam bidang tenunan ini turut membuka ruang kepada pemerkasaan ekonomi keluarga melalui penghasilan produk kraf bernilai tinggi.
Hadir sama Ahli Parlimen Selangau, Edwin Banta, wakil IWCT Linda Nanang, Pengerusi Kelab Belia Proaktif Lubok Bukut, Dr Jawing Chunggat serta Pegawai Daerah Selangau, Yalin Asan.-EDISI UKAS