Aidilfitri Lebih Bermakna, Penduduk Lubok Nibong Nikmati Elektrik Selepas 40 Tahun
MARUDI: Sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini membawa makna yang cukup mendalam buat penduduk Kampung Seberang Lubok Nibong apabila mereka akhirnya menikmati bekalan elektrik selepas lebih 40 tahun menanti.
Kegembiraan itu jelas terpancar dalam Majlis Ramah Tamah Aidilfitri yang berlangsung pada Ahad apabila suasana kampung yang sebelum ini bergelap pada waktu malam kini diterangi cahaya elektrik, sekali gus memberi nafas baharu kepada kehidupan seharian penduduk.
Majlis anjuran JKKK Kampung Seberang Lubok Nibong itu turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu, Datuk Gerawat Gala.
Dalam ucapannya, beliau menyifatkan penyambungan bekalan elektrik ke kampung tersebut sebagai satu pencapaian besar yang membawa impak langsung kepada kesejahteraan penduduk.
“Selepas lebih empat dekad, penduduk kini dapat menikmati kemudahan asas ini. Ia bukan sahaja meningkatkan kualiti hidup, malah membuka lebih banyak peluang pembangunan pada masa hadapan,” katanya.
Menurut beliau, kemudahan tersebut turut membantu mengurangkan beban kos sara hidup, memandangkan penduduk sebelum ini bergantung kepada minyak bagi menggerakkan mesin janakuasa.
Dalam masa yang sama, beliau menegaskan bahawa kunjungan sempena Aidilfitri seperti ini menjadi platform penting untuk mendekati rakyat serta memperkukuh hubungan silaturahim antara pemimpin dan komuniti setempat.
Beliau turut menyifatkan Kampung Seberang Lubok Nibong sebagai unik kerana merupakan satu-satunya kampung Muslim dalam kawasan DUN Mulu, sekali gus mencerminkan keharmonian masyarakat berbilang kaum di Sarawak.-EDISI UKAS