Kunjungan Raya Eratkan Perpaduan Masyarakat Pelbagai Kaum di Piasau
MIRI: Amalan kunjung-mengunjung sempena Hari Raya Aidilfitri terus menjadi pemangkin kepada pengukuhan perpaduan masyarakat pelbagai kaum di kawasan Piasau.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew bersama rombongan telah mengadakan kunjungan ke beberapa kediaman ketua masyarakat dan ketua kaum di Kampung Luak, sempena sambutan Aidilfitri hari kedua semalam.
Antara kediaman yang dikunjungi termasuk Temenggong Abang Mohamed Othman, Ketua Kaum Rahaman Bolhasan serta Kaunselor Yusri, selain menziarahi penduduk beragama Islam di sekitar kawasan berkenaan.
Menurut beliau, tradisi kunjung-mengunjung yang diamalkan masyarakat Sarawak menjadi cerminan keharmonian serta kekuatan hubungan antara kaum dan agama di negeri ini.
“Perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri memberi ruang kepada kita untuk saling berkunjung, beramah mesra dan mengeratkan hubungan, sekali gus memperkukuh semangat perpaduan yang telah lama terbina,” katanya ketika ditemui semasa kunjungan tersebut.
Tambah beliau, budaya ziarah yang terus dipelihara ini bukan sahaja memperkukuh silaturahim, malah menyemai nilai saling menghormati serta mempererat ikatan sosial dalam kalangan masyarakat.-EDISI UKAS