Rumah Terbuka Aidilfitri Satukan Rakyat, Perkukuh Jalinan Pemimpin Di Lawas
LAWAS: Kemeriahan sambutan Hari Raya Aidilfitri di Lawas bukan sekadar perayaan, malah menjadi medan penting yang menyatukan rakyat pelbagai lapisan dalam suasana penuh muhibah dan kebersamaan.
Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yang berlangsung di Hotel Seri Malaysia Lawas pada Isnin nyata mencerminkan keakraban hubungan antara pemimpin dan rakyat apabila ribuan pengunjung hadir memeriahkan majlis tersebut.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Sari terus menzahirkan komitmen mendekati rakyat melalui pendekatan turun padang, dengan penganjuran majlis seumpama ini yang membuka ruang interaksi secara santai dan langsung.
Suasana harmoni jelas terpancar apabila para tetamu daripada pelbagai latar belakang saling beramah mesra, berjabat tangan serta bermaaf-maafan, sekali gus memperkukuh nilai perpaduan dalam komuniti.
Keunikan Lawas sebagai kawasan yang bersempadan dengan Sabah dan Brunei turut menyerlahkan lagi peranan majlis ini sebagai titik pertemuan masyarakat rentas wilayah, yang menghubungkan silaturahim tanpa sempadan.
Penganjuran rumah terbuka ini membuktikan bahawa Aidilfitri bukan sahaja diraikan sebagai perayaan keagamaan, malah menjadi wadah mempererat hubungan rakyat dan pemimpin, sejajar dengan usaha membina masyarakat yang harmoni dan progresif.-EDISI UKAS