Kerajaan Sarawak Salur Bantuan Segera Kepada Mangsa Kebakaran Kampung Tuie
BETONG: Kerajaan Sarawak bertindak pantas menyalurkan bantuan segera kepada mangsa kebakaran di Kampung Tuie melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) Bahagian Betong susulan kejadian yang berlaku semalam.
Kebakaran yang dilaporkan pada 22 Mac sekitar jam 1 petang itu melibatkan tiga buah rumah, dengan operasi pemadaman serta tindakan susulan oleh pihak berkuasa masih diteruskan bagi memastikan keadaan benar-benar terkawal.
Susulan itu, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas, Datuk Mohammad Razi Sitam telah turun padang meninjau kawasan terjejas serta bertemu mangsa bagi mendapatkan gambaran situasi sebenar.
Dalam lawatan tersebut, beliau turut menyampaikan bantuan awal yang disalurkan melalui JKMS sebagai usaha meringankan beban mangsa, selain memastikan kebajikan mereka terus diberi perhatian sewajarnya.
Bantuan yang disalurkan turut mendapat sokongan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang menyalurkan makanan asas kepada mangsa terlibat.
Antara bantuan disediakan termasuk bahan binaan, wang saku, peralatan dapur, pakaian harian, makanan kering, kelengkapan tidur, pakaian seragam sekolah, peralatan sekolah serta kit keperluan harian.
Secara keseluruhan, bantuan tersebut melibatkan 3 Ketua Isi Rumah (KIR) dengan nilai keseluruhan sebanyak RM28,890.
Kerajaan Sarawak melalui agensi berkaitan akan terus memantau perkembangan semasa dan komited memastikan kebajikan mangsa sentiasa terpelihara, di samping menyalurkan bantuan tambahan mengikut keperluan dari semasa ke semasa. -EDISI UKAS