Yakin Cup 2026 Himpun Belia, Perkukuh Semangat Komuniti di Miri
MIRI: Kejohanan 4th Yakin Cup 9x9 Basketball Championship 2026 membuktikan sukan terus menjadi jambatan penyatuan komuniti apabila berlangsung meriah di Gelanggang Bola Keranjang Taman Yakin, di sini pada Isnin.
Sebanyak 22 pasukan melibatkan 264 pemain menyertai kejohanan anjuran Yakin Basketball Club itu, sekali gus mencerminkan sambutan memberangsangkan dalam kalangan belia terhadap aktiviti sukan di peringkat akar umbi.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Datuk Bandar Bandaraya Miri merangkap ADUN Pujut, Adam Yii Siew Sang yang turut dihadiri Pengerusi Pengelola Jawatankuasa, Benson Kuan.
Dalam ucapannya, Adam Yii menegaskan Yakin Cup bukan sekadar platform pertandingan, malah medan penting dalam memperkukuh hubungan komuniti serta menggalakkan penglibatan belia dalam aktiviti sihat dan berfaedah.
Menurut beliau, penganjuran yang kini memasuki edisi keempat itu membuktikan komitmen berterusan pelbagai pihak dalam memajukan pembangunan sukan komuniti, sekali gus mengangkat Yakin Cup sebagai acara tempatan berimpak dan beridentiti tersendiri.
Beliau turut menekankan bahawa gelanggang bola keranjang bukan sekadar kemudahan riadah, sebaliknya berperanan sebagai ruang interaksi sosial yang menyatukan komuniti serta memupuk semangat kekitaan.
Sebagai sokongan terhadap pembangunan fasiliti sukan, beliau mengumumkan peruntukan sebanyak RM300,000 bagi menaik taraf gelanggang bola keranjang Taman Yakin yang dijadualkan bermula sejurus tamat kejohanan.
Selain itu, beliau turut menyatakan komitmen untuk menyalurkan dana tambahan bagi memastikan kesinambungan penganjuran Yakin Cup sebagai platform mencungkil bakat dan memperkukuh perpaduan masyarakat.-EDISI UKAS