50 Pasukan Bertanding Dalam Piala Perpaduan Asajaya Edisi Ke-58
ASAJAYA: Sebanyak 50 pasukan dari seluruh kawasan sekitar menyertai Kejohanan Bola Sepak Piala Perpaduan ADUN N.15 Asajaya Edisi Ke-58.
Kejohanan tersebut terus menjadi acara tradisi dinanti-nantikan masyarakat setempat, selain berperanan sebagai platform memperkukuh semangat perpaduan, silaturahim dan kesukanan dalam kalangan komuniti.
Majlis perasmian kejohanan tersebut telah disempurnakan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Sumber Asli Dan Pembangunan Bandar merangkap Penaung Kelab Bola Sepak Sambir Bistari, Datu Abdullah Julaihi yang berlangsung meriah di Padang Kampung Sambir, pada Isnin.
Berucap dalam majlis tersebut, beliau menzahirkan penghargaan terhadap komitmen penganjur dalam memastikan penganjuran berterusan acara sukan tradisi yang menjadi platform penyatuan komuniti.
Beliau menegaskan bahawa kejohanan seumpama ini bukan sahaja menjadi medan mencungkil bakat baharu dalam sukan bola sepak, malah berperanan sebagai wadah mempererat hubungan silaturahim tanpa mengira latar belakang.
“Penganjuran kejohanan ini membuktikan bahawa sukan mampu menyatukan masyarakat. Ia bukan sekadar pertandingan, tetapi juga platform membina jati diri, disiplin serta semangat kerjasama dalam kalangan belia,” ujarnya.
Kejohanan yang bermula hari ini dijadual berlangsung sehingga 5 April depan, dengan majlis penutupan akan disempurnakan oleh Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Penganjuran edisi kali ini menawarkan hadiah lumayan dengan juara bakal membawa pulang piala pusingan, wang tunai RM7,000, baucar Adidas bernilai RM1,500 serta jersi final. Naib juara pula menerima RM5,000 berserta baucar RM900, manakala tempat ketiga bersama masing-masing menerima RM3,000 dan baucar RM500.
Selain itu, empat pasukan yang tewas di peringkat suku akhir turut menerima saguhati, manakala anugerah individu seperti pemain terbaik final dan penjaring terbanyak turut disediakan sebagai pengiktirafan kepada prestasi cemerlang pemain.
Kejohanan anjuran Kelab Bola Sepak Sambir Bistari itu turut mendapat sambutan hangat daripada komuniti setempat, sekali gus memperlihatkan kesungguhan masyarakat dalam menyokong aktiviti sukan sebagai medium pembangunan sosial. -EDISI UKAS