ADUN Balai Ringin 'Bejarah' Raya Aidilfitri Bersama Masyarakat
BALAI RINGIN: Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin, Datuk Snowdan Lawan telah menghadiri beberapa siri kunjungan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri 2026, pada Isnin.
Kunjungan Aidilfitri tersebut terus dimanfaatkan sebagai medium mengeratkan hubungan antara pemimpin dan rakyat sekali gus memperkukuh silaturahim pelbagai bangsa dan agama.
Terdahulu, Datuk Snowdan telah menghadiri Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri anjuran Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki yang berlangsung di Dewan SABATI di Kuching.
Program diteruskan pada sebelah petang apabila Datuk Snowdan menghadiri kunjungan ziarah ke rumah terbuka Ketua Kampung Mohd Idris serta Puan Normala Sobang di Kampung Melayu, Balai Ringin.
Turut mengiringi kunjungan tersebut ialah Pegawai Pejabat Daerah Kecil Balai Ringin, Mohd Adam Abdullah, Penghulu Lama Bungkol serta ketua-ketua masyarakat setempat.
Sepanjang kunjungan berkenaan, Datuk Snowdan berkesempatan beramah mesra bersama penduduk, bertanya khabar selain mendengar sendiri pandangan serta keperluan masyarakat setempat.
Pendekatan mesra rakyat yang sentiasa diamalkan beliau mencerminkan komitmen berterusan dalam memastikan kebajikan rakyat terus diberi perhatian, di samping memperkukuh jalinan silaturahim antara pemimpin dan komuniti setempat sempena Aidilfitri. -EDISI UKAS