Sambutan Aidilfitri Di LTAK Perkukuh Imej Hospitaliti Malaysia
KUCHING: Suasana ceria dan penuh kemesraan menyambut ketibaan pelawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) pada Isnin bukan sekadar meraikan Aidilfitri, malah menjadi gambaran awal hospitaliti Malaysia kepada dunia sempena Kempen Melawat Malaysia 2026 (VM2026).
Ahli Lembaga Pengarah Tourism Malaysia, Synthia Law Wan Chin berkata, sambutan di pintu masuk utama negara itu merupakan pendekatan berterusan yang dilaksanakan setiap kali musim perayaan sebagai simbol alu-aluan kepada pelawat.
“Setiap kali musim perayaan, kita akan mengadakan sambutan di lapangan terbang atau pintu masuk utama negara bagi menyambut kedatangan pelawat,” katanya ketika ditemui pada majlis berkenaan di sini, hari ini.
Menurut beliau, inisiatif tersebut bukan sahaja menceriakan suasana, malah membawa mesej lebih besar memperkenalkan rakyat Malaysia sebagai ‘duta kecil’ yang mencerminkan keunikan budaya serta kehangatan layanan tempatan.
“Kita mahu setiap pelawat yang tiba merasai sendiri kemesraan rakyat Malaysia, khususnya pelawat antarabangsa, agar pengalaman pertama mereka di negara ini meninggalkan kesan yang positif,” ujarnya.
Hari ini sahaja, lebih 1,000 penumpang dijangka tiba di LTAK dengan setiap daripada mereka disambut dengan cenderamata sebagai tanda penghargaan dan kenangan manis pertama di bumi Kenyalang.
Tambahnya, usaha tersebut turut mendapat sokongan pelbagai pihak termasuk penaja, agensi pelancongan dan pemain industri, sekali gus memperlihatkan sinergi dalam memperkukuh sektor pelancongan negara.
Dalam pada itu, Sarawak terus mencatat prestasi memberangsangkan dengan purata kedatangan sekitar 100,000 pelawat sebulan, dan mampu meningkat sehingga 200,000 orang ketika penganjuran acara atau festival berskala besar.
Mengulas situasi global semasa, beliau berkata Sarawak tidak terjejas secara langsung dari segi ketibaan pelawat antarabangsa, namun terdapat sedikit kesan terhadap pergerakan transit melalui Kuala Lumpur.
Penganjuran sambutan Aidilfitri di pintu masuk negara ini jelas membuktikan komitmen berterusan dalam menyokong aspirasi VM2026, sekali gus memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai destinasi pelancongan pilihan di rantau ini.-EDISI UKAS