Yang di-Pertua Negeri Sarawak Zahirkan Penghargaan Sempena Penganjuran Rumah Terbuka Aidilfitri
KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menzahirkan setinggi-tinggi kesyukuran atas kelancaran penganjuran majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri 2026, di Astana Negeri Sarawak, pada 1 Syawal lalu.
Kehadiran hampir 27,000 pengunjung ke Majlis Sambutan Aidilfitri di Astana Negeri Sarawak pada 1 dan 2 Syawal lalu membuktikan semangat perpaduan serta kekeluargaan yang utuh dalam kalangan rakyat negeri ini.
Dalam satu Perutusan Khas Terima Kasih pada Isnin, beliau menjelaskan sambutan yang diterima amat menggalakkan apabila seramai 25,000 pengunjung hadir pada hari pertama, manakala hampir 2,000 lagi pada hari kedua, sekali gus melangkaui jangkaan awal penganjur.
Beliau berkata, kehadiran rakyat dari pelbagai kawasan termasuk Bahagian Kuching, Kota Samarahan, Betong dan Sibu serta warga kota Kuching mencerminkan semangat silaturahim yang tinggi dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Sarawak.
“Suasana sambutan kali ini sungguh meriah dan menyentuh hati. Kehadiran rakyat daripada pelbagai lapisan umur, kaum dan agama memperlihatkan nilai perpaduan yang tidak ternilai,” katanya menerusi kenyataan berkenaan.
Dalam pada itu, majlis pada hari pertama turut dimeriahkan dengan penyertaan 14 gerai yang kebanyakannya diusahakan oleh peniaga kecil sekitar Kuching, menyediakan pelbagai juadah tradisional seperti sate, ketupat, rendang, kari, ais kacang, kolok mee, mee jawa serta kek lapis Sarawak.
Beliau turut merakamkan penghargaan atas komitmen para peniaga yang memastikan bekalan makanan dan minuman mencukupi untuk dinikmati oleh semua tetamu yang hadir.
Tambah beliau, keunikan sambutan Aidilfitri di Astana turut terserlah menerusi kepelbagaian busana tradisional etnik yang digayakan para tetamu, sekali gus memperlihatkan kekayaan warisan budaya Sarawak.
Sehubungan itu, beliau bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua pihak yang hadir dan menjayakan sambutan berkenaan.
“Semoga sambutan Syawal ini terus menjadi wadah untuk memperkukuh silaturahim serta ukhuwah dalam kalangan kita sebagai anak-anak Sarawak,” ujarnya. -EDISI UKAS