UKAS Sertai MEDCOM 2026, Perkukuh Persiapan Persidangan Media Sarawak 2026
BALI: Penyertaan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) dalam The 11th World Conference on Media & Mass Communication (MEDCOM) 2026 di Bali, Indonesia dilihat sebagai langkah strategik berimpak tinggi dalam memperkukuh persediaan penganjuran Persidangan Media Sarawak 2026, sekali gus meletakkan negeri ini sebaris dengan wacana media global.
Delegasi UKAS yang diketuai Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol turut disertai Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Datu Hii Chang Kee serta Timbalan Pengarah UKAS, Mohamed Faizal Shah Ali.
Persidangan bertemakan “Rethinking Media Futures: Sustainability, Resistance & Communication Justice” itu menghimpunkan pakar media antarabangsa bagi membincangkan pelbagai isu kritikal termasuk kelestarian industri media, keadilan komunikasi serta cabaran era digital dan berlangsung selama dua hari bermula hari ini.
Hari pertama dimulakan dengan sesi ucaptama oleh tokoh-tokoh media global yang mengetengahkan hala tuju masa depan industri, termasuk inovasi dalam penyampaian maklumat serta pendekatan strategik dalam menangani penularan maklumat palsu.
Sementara itu, Datuk Abdullah Saidol berkata, penglibatan UKAS dalam MEDCOM 2026 membawa signifikan besar kerana memberi input langsung kepada reka bentuk kandungan dan hala tuju Persidangan Media Sarawak 2026.
“Pendedahan kepada perspektif global ini membolehkan UKAS merangka persidangan yang lebih progresif, relevan dan responsif terhadap landskap media semasa,” katanya ketika ditemui dalam persidangan tersebut pada Isnin.
Beliau menambah, antara elemen yang boleh diterapkan termasuk pemilihan tema berimpak tinggi, penglibatan penceramah bertaraf antarabangsa serta pendekatan perbincangan yang lebih inklusif, dinamik dan berorientasikan penyelesaian.
Pada masa sama, penyertaan ini turut membuka ruang kepada UKAS untuk memperluas jaringan kerjasama strategik dengan institusi media dan akademik antarabangsa, sekali gus berpotensi mengangkat kredibiliti Persidangan Media Sarawak 2026 ke tahap lebih tinggi.
Selain itu, delegasi UKAS turut memperoleh pendedahan menyeluruh mengenai amalan terbaik penganjuran persidangan berskala besar, merangkumi aspek pengurusan acara, penglibatan peserta serta penggunaan teknologi digital dalam penyampaian kandungan secara lebih efektif.
Secara keseluruhannya, penglibatan UKAS dalam MEDCOM 2026 bukan sekadar penyertaan di pentas antarabangsa, sebaliknya menjadi pemangkin penting dalam memastikan Persidangan Media Sarawak 2026 tampil lebih berimpak, berwibawa dan bertaraf global.-EDISI UKAS