TYT Sarawak & Isteri Serikan Rumah Terbuka Aidilfitri Shell Malaysia
KUCHING: Kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi menyerikan Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri 2026 anjuran Shell Malaysia di sebuah hotel terkemuka di sini pada Isnin.
Majlis yang menghimpunkan lebih 400 tetamu terdiri daripada rakan industri, pemegang taruh serta warga kerja syarikat itu menjadi wadah penting dalam memperkukuh jaringan kerjasama strategik, khususnya dalam sektor tenaga yang menjadi nadi pembangunan ekonomi negara.
Lebih daripada sekadar sambutan perayaan, penganjuran tersebut turut membuka ruang kepada pertukaran pandangan serta perkongsian aspirasi antara pemain industri dan pihak kerajaan, sekali gus memperkukuh sinergi ke arah pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan dan berdaya tahan.
Terdahulu, majlis berkenaan turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Amar Fadillah Yusof.
Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak Datuk Dr Hazland Abang Hipni, Setiausaha Kewangan Sarawak Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar serta Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) Datu Felicia Tan Ya Hua.
Penganjuran seumpama ini dilihat selari dengan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh kerjasama erat antara sektor awam dan swasta, khususnya dalam memperkasa industri tenaga sebagai pemacu utama pembangunan negara.-EDISI UKAS