MBM Jamin Peniaga Tidak Terbeban di Pusat Jualan Buah Bermusim Pujut Corner
MIRI: Majlis Bandaraya Miri (MBM) memberi jaminan bahawa sebarang caj yang bakal dikenakan kepada peniaga di pusat jualan buah bermusim di Terminal Bas Lama Pujut Corner akan ditetapkan pada kadar minimum serta tidak membebankan rakyat.
Datuk Bandar Miri, Adam Yii Siew Sang berkata, pendekatan tersebut selari dengan hasrat MBM untuk mewujudkan peluang perniagaan yang adil selain memastikan pengurusan kawasan lebih teratur dan kondusif.
“Kadar yang dikenakan nanti sangat minimum. Tujuan kita bukan untuk membebankan, tetapi memastikan semua pihak mendapat peluang yang adil,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada kunjungan Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri di sini, pada Isnin.
Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut menjelaskan bahawa ketika ini MBM tidak mengenakan sebarang caj kepada peniaga yang menjalankan aktiviti penjualan buah-buahan bermusim di lokasi berkenaan.
Menurutnya, cadangan menjadikan kawasan tersebut sebagai pusat jualan buah bermusim adalah bagi memperluaskan fungsi sedia ada termasuk sebagai lokasi aktiviti borong serta kegunaan lain yang bersesuaian.
“Inisiatif ini bertujuan memaksimumkan penggunaan ruang selain menggalakkan lebih ramai peniaga, termasuk penjual bermusim, beroperasi di lokasi yang lebih tersusun,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa pemusatan aktiviti jualan di satu lokasi akan memudahkan pihak MBM mengurus aspek kebersihan, pelupusan sisa serta isu persekitaran dengan lebih berkesan.
Menyentuh kapasiti tapak, beliau memaklumkan jumlah peniaga yang boleh ditempatkan masih belum dimuktamadkan, namun kawasan tersebut dilihat mampu menampung kehadiran ramai peniaga.
Tinjauan mendapati kerja-kerja penambahbaikan di Terminal Bas Lama Pujut Corner sedang giat dilaksanakan, termasuk pengecatan bangunan, pagar serta penyediaan kemudahan tempat berniaga bagi memastikan keselesaan peniaga dan pengunjung.
Usaha ini dijangka memberi impak positif kepada pembangunan ekonomi setempat selain meningkatkan kemudahan kepada peniaga kecil dan pengguna di kawasan Miri.- EDISI UKAS