Ziarah Raya Eratkan Silaturahim, Perkukuh Perpaduan Komuniti
BELADIN: Amalan ziarah raya terus menjadi medium penting dalam memperkukuh hubungan silaturahim serta memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat setempat, khususnya ketika sambutan Aidilfitri.
Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli tidak ketinggalan menziarahi beberapa buah rumah di Kampung Beladin pada Isnin.
Menurut beliau, tradisi kunjung-mengunjung sempena Syawal merupakan amalan yang telah lama sebati dalam kehidupan masyarakat di Sarawak dan wajar diteruskan sebagai wadah merapatkan hubungan kekeluargaan serta persaudaraan.
“Syawal menjelma sebagai bulan kemaafan dan ziarah raya ini menjadi platform untuk kita saling bermaafan serta mengeratkan hubungan silaturahim antara satu sama lain,” katanya ketika ditemui semasa ziarah tersebut.
Beliau turut mengingatkan penduduk agar memanfaatkan bulan Syawal dengan memperbanyakkan aktiviti ziarah-menziarahi, selain mengamalkan sikap saling memaafkan demi keharmonian komuniti.
Dalam pada itu, beliau menekankan kepentingan amalan bersedekah serta penganjuran rumah terbuka atau ‘ringgo’ sebagai medium untuk menghimpunkan sanak saudara dan rakan taulan yang pulang ke kampung halaman bagi meraikan Aidilfitri bersama.
Tambahnya lagi, Aidilfitri bukan sahaja diraikan sebagai tanda kemenangan umat Islam selepas sebulan berpuasa, malah menjadi ruang terbaik untuk memperkukuh perpaduan, mempererat ukhuwah serta menyemai rasa syukur atas nikmat yang dikurniakan.
Beliau juga menyeru agar masyarakat tidak melupakan golongan yang memerlukan dengan turut berkongsi kegembiraan bersama mereka sepanjang musim perayaan ini.
“Saya berharap amalan seperti ini dapat diteruskan agar masyarakat kita terus bersatu dan hubungan kekeluargaan dapat diperkukuh,” ujarnya. -EDISI UKAS