Pemimpin Prihatin Jadi Tonggak Kesejahteraan Penduduk Kampung Melayu Betong
BETONG: Para Ketua Kampung Melayu Betong menzahirkan rasa syukur dan penghargaan atas kunjungan Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar, Datuk Gerald Rentap Jabu, bersama isteri, Datin Rosemarie Wong sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri di hari ke-3 sambutan tersebut.
Kunjungan tersebut melibatkan beberapa buah rumah termasuk Kaunselor Abdul Rahim Jaini, Ketua Kampung Baru Hilir Kamar Lugom, Ketua Kampung Baru Hulu Shamsul Anuar, mantan Ketua Kampung Pasa Melayu Rokiah Mahmud serta Ketua Kampung Pasa Melayu Jeffery Serini.
Semasa kunjungan tersebut, beliau menekankan bahawa budaya saling menyokong antara pemimpin dan rakyat serta amalan ziarah-menziarahi antara kaum perlu terus dipelihara bagi memastikan keharmonian masyarakat di Sarawak kekal utuh.
Menurut beliau, amalan tersebut jelas dapat dilihat apabila masyarakat pelbagai kaum saling mengunjungi, khususnya apabila kaum lain turut berkunjung ke rumah masyarakat Melayu sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.
“Tradisi ini mencerminkan semangat perpaduan yang tinggi dalam kalangan rakyat Sarawak dan perlu diteruskan oleh generasi akan datang,” katanya semasa menyantuni keluarga ketua kampung.
Dalam pada itu, ketua-ketua kampung turut mengambil kesempatan menzahirkan penghargaan terhadap komitmen berterusan beliau dalam memastikan kesejahteraan penduduk sentiasa terpelihara.
Turut hadir dalam kunjungan ini ialah Pemancha Masyarakat Iban Daerah Betong Norman Ngumbang, Penghulu Stanley Ejau Erin, Penghulu Sebastian Kadam Randy dan Kaunselor Abdul Rahim Jaini. -EDISI UKAS