Pemimpin Santuni Rakyat, Semarak Aidilfitri di Meradong
BINTANGOR: Program SABERKAS Prihatin sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri 2026 di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Meradong berlangsung meriah dengan kunjungan pemimpin ke kampung-kampung sekitar Bintangor bagi mengeratkan hubungan bersama masyarakat setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing yang juga Pengerusi Parti SUPP Cawangan Bintangor hadir bersama isteri beliau, Datin Kueh Nai Fun, mengetuai rombongan dalam program tersebut.
Kunjungan berkenaan bertujuan menyemarakkan sambutan Aidilfitri di samping memperkukuh hubungan silaturahim antara pemimpin dan rakyat dalam suasana penuh muhibah serta keharmonian.
Antara lokasi yang dilawati termasuk Dewan Serbaguna Kampung Selemas Bintangor, Rumah Penghulu Abg Hashim, Rumah Pemanca Rapen Angga, Kampung Darul Falah, Sungai Gemuan serta Kampung Melayu Skim B Meradong. Di setiap lokasi, rombongan disambut mesra oleh penduduk kampung yang turut berkongsi juadah Hari Raya dalam suasana penuh kekeluargaan.
Selain itu, rombongan turut mengadakan kunjungan ke kediaman beberapa individu termasuk seorang jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarikei, timbalan residen Sarikei serta seorang guru besar sekolah rendah di daerah berkenaan.
Dalam pada itu, Datuk Ding menzahirkan penghargaan atas sambutan hangat yang diberikan oleh masyarakat serta menegaskan kepentingan amalan kunjung-mengunjung sebagai tradisi yang mampu memperkukuh perpaduan.
“Program seperti ini bukan sahaja mencerminkan keprihatinan pemimpin terhadap rakyat, malah menjadi platform penting dalam mempererat hubungan serta memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum,” katanya.
Program SABERKAS Prihatin ini dilihat sebagai antara inisiatif berterusan dalam memastikan hubungan erat antara pemimpin dan rakyat terus diperkasa, selaras dengan semangat perpaduan dan keharmonian yang menjadi teras pembangunan komuniti di kawasan Meradong.- EDISI UKAS