Pembangunan Berpaksikan Rakyat Jadi Keutamaan di Kuala Rajang
KUALA RAJANG: Komitmen kerajaan Sarawak dalam memperkukuh kemudahan dan kesejahteraan rakyat terus diperkasa di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Rajang.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang, Datuk Len Talif Salleh berkata, pelaksanaan setiap projek pembangunan perlu berlandaskan keperluan sebenar rakyat agar manfaatnya dapat dirasai secara menyeluruh.
“Pembangunan yang tidak mengambil kira keperluan rakyat hanya akan menjadi sia-sia dan membawa kepada pembaziran,” tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Ramah Tamah Aidilfitri anjuran Pusat Khidmat Kuala Rajang di Dewan Masyarakat Kampung Jerijih pada malam Isnin yang menghimpunkan lebih 300 penduduk setempat.
Sementara itu tambahnya, hasil kajian beberapa agensi kerajaan di Daerah Tanjong Manis meliputi Belawai, Rajang, Jerijih serta Pekan Tanjong Manis menunjukkan peningkatan ketara dalam sektor ekonomi sejak pembukaan Jambatan Tuanku Bujang.
Tambahnya, perkembangan tersebut didorong oleh pelaksanaan projek infrastruktur seperti pembinaan jalan raya dan jambatan yang dirancang berdasarkan keperluan penduduk setempat.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan projek Skim Pembesaran Kampung (SPK) Kampung Jerijih yang dinantikan penduduk kini dijangka siap dalam masa terdekat, sekali gus membuka lebih banyak peluang pemilikan lot kediaman kepada rakyat.-EDISI UKAS