Sentuhan Kasih Warnai Bintangor, Kanak-Kanak Diraikan, Mangsa Kebakaran Disantuni
BINTANGOR: Gelak tawa dan wajah ceria kira-kira 50 kanak-kanak daripada Rumah Kanak-Kanak Methodist Sibu mewarnai kunjungan ke Bintangor, sekali gus mencipta momen penuh kasih sayang yang menyentuh hati komuniti setempat.
Kunjungan tersebut bukan sekadar lawatan biasa, sebaliknya menjadi ruang untuk kanak-kanak merasai kehangatan perhatian masyarakat serta membina keyakinan diri melalui interaksi bersama pemimpin dan penduduk tempatan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing bersama isteri, Datin Kueh Nai Fun hadir menyambut rombongan di Kedai Kopi Wan Lung dalam suasana mesra dan penuh kekeluargaan.
Sepanjang program, kanak-kanak dilihat bebas berinteraksi, berkongsi cerita dan merasai sendiri keprihatinan masyarakat, sekali gus memberi mereka suntikan emosi positif serta rasa dihargai.
Dalam pada itu, Datuk Ding menzahirkan penghargaan terhadap usaha murni penganjuran program tersebut serta melahirkan rasa gembira dapat meluangkan masa bersama kanak-kanak berkenaan.
“Anak-anak ini adalah amanah dan harapan masa depan. Mereka bukan sahaja memerlukan pendidikan, tetapi juga kasih sayang, perhatian dan sokongan emosi daripada kita semua,” katanya pada Isnin.
Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan keprihatinan dengan menziarahi mangsa kebakaran di Rumah Nancy, Sungai Meradong, yang masih berdepan kesan kehilangan tempat tinggal dan harta benda.
Dalam suasana penuh empati, beliau beramah mesra dengan keluarga terjejas serta menyampaikan kata-kata semangat agar mereka terus tabah menghadapi ujian.
Kehadiran beliau bukan sahaja membawa sokongan moral, malah menjadi simbol kebersamaan bahawa mangsa tidak bersendirian dalam menghadapi detik sukar tersebut.-EDISI UKAS