Ziarah Aidilfitri Santuni Rakyat, Perkukuh Jalinan Komuniti di Tellian
MUKAH: Suasana Syawal di DUN Tellian disemarakkan dengan kunjungan ziarah Aidilfitri yang bukan sekadar tradisi, malah menjadi jambatan menghubungkan hati antara pemimpin dan rakyat di kawasan ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine bersama isteri turun padang menziarahi kediaman pemimpin masyarakat dan penduduk setempat di sekitar Mukah, sekali gus menyantuni komuniti dalam suasana penuh mesra dan kekeluargaan.
Program yang berlangsung pada hari kedua Aidilfitri itu turut disertai Pegawai Daerah Mukah, Peleadzman Ahip bersama barisan ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK) termasuk wakil komuniti bukan Muslim.
Di setiap lokasi kunjungan, suasana ceria jelas terpancar apabila rombongan disambut dengan hidangan tradisi serta senyuman mesra tuan rumah, mencerminkan semangat perpaduan yang utuh dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.
Antara kediaman yang diziarahi termasuk Temenggung Hendi Suhai di Oya, Pemanca Mohamad @ Mohd Jali Kawi, Penghulu Mahmud Hamdan, Penghulu Besiri Keri serta beberapa Ketua Kaum di kampung sekitar seperti Kampung Judan Hilir, Kampung Judan Hulu, Kampung Petanak Hilir, Kampung Kuala Lama, SPS Kuala Lama, Kampung Dato, Kampung Pegei dan Kampung Tellian Laut.
Kunjungan tersebut bukan sahaja mengeratkan hubungan silaturahim, malah memberi pengiktirafan terhadap peranan penting pemimpin akar umbi sebagai penghubung utama antara kerajaan dan rakyat.-EDISI UKAS